Khamis, 16 April 2020 | 1:54pm
Gambar kiri; Penghasilan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan petugas barisan hadapan. Gambar kanan; PPE dijahit sendiri untuk dijadikan sumbangan kepada hospital dalam menangani wabak COVID-19. - Foto Ihsan UiTM
Gambar kiri; Penghasilan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan petugas barisan hadapan. Gambar kanan; PPE dijahit sendiri untuk dijadikan sumbangan kepada hospital dalam menangani wabak COVID-19. - Foto Ihsan UiTM

COVID-19: UiTM sumbang alat perlindungan muka, PPE

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyumbangkan lebih 30,000 peralatan penting membabitkan alat perlindungan muka, cecair pembasmi kuman dan pakaian perlindungan peribadi (PPE) kepada golongan barisan hadapan di hospital kerajaan dalam mendepani cabaran COVID-19.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, berkata sumbangan membabitkan 26,152 unit alat perlindungan muka yang dihasilkan fakulti dan kampus cawangan UiTM kepada 79 penerima termasuk hospital kerajaan dan agensi berkaitan.

Katanya, turut disumbangkan ialah 4,478 unit cecair pembasmi kuman yang dihasilkan kepada 11 agensi kerajaan manakala 2,790 unit fabrik bukan tenunan disterilkan PPE kepada lapan hospital kerajaan.

“UiTM amat prihatin dengan peralatan diperlukan petugas barisan hadapan dan menyahut saranan kerajaan yang mengalu-alukan sumbangan atau bantuan, dalam memerangi COVID-19 ini.

Cecair pembasmi kuman yang dihasilkan UiTM. - Foto Ihsan UiTM
Cecair pembasmi kuman yang dihasilkan UiTM. - Foto Ihsan UiTM

“Semua sumbangan ini bertujuan membantu petugas barisan hadapan dan ia adalah proses UiTM yang berterusan melalui penyelidikan dan sumbangan.

“Cara ini dapat meringankan beban agensi kerajaan yang bertungkus-lumus menangani kemelut COVID-19, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Azraai berkata, selain peralatan, UiTM turut memberi sumbangan kepakaran daripada pensyarahnya membabitkan kotak intubasi, data analitikal dan terowong pembasmian kuman.

Katanya, UITM juga turut menyumbang kepakaran dari segi penyediaan ‘robot saringan kesihatan’, ‘robot pencegah virus dalman’, ‘roboALPR’, ‘robot penghantaran’ dan ‘alat pengukur suhu melalui pengecaman wajah’ untuk kegunaan hospital dan agensi berkaitan.

“Pusat Perubatan Pakar UiTM Sungai Buloh misalnya adalah salah sebuah makmal COVID-19 yang memproses lebih 1,300 sampel manakala, Hospital UiTM Sungai Buloh pula dengan kolaborasi ‘Doktor dan Jurutera Rekaan Menentang COVID-19 Malaysia’ (DDEC19My) menghasilkan unit saringan massa COVID-19 mudah alih atau COMBAT,” katanya.

Sehingga kini, kes COVID-19 di negara ini meragut 83 nyawa dengan 85 kes baharu direkodkan sehingga semalam menjadikan keseluruhan kes ialah 5,072 kes.

Sebahagian daripada kerangka peralatan pelindung muka yang dihasilkan UiTM. - Foto Ihsan UiTM
Sebahagian daripada kerangka peralatan pelindung muka yang dihasilkan UiTM. - Foto Ihsan UiTM

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X