Selasa, 14 April 2020 | 9:01pm

Pelaburan RM400 juta, internet lebih baik

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang giat memperkukuhkan prestasi rangkaian masing-masing melalui pelaburan tambahan bernilai RM400 juta.

Inisiatif itu dilaksanakan bersama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata permintaan terhadap jalur lebar melonjak tinggi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan masyarakat banyak bergantung penggunaan Internet bagi menjalankan kebanyakan aktiviti dari rumah.

“Ia termasuk ramai yang bekerja dari rumah, pembelajaran maya, pembelian dalam talian, hiburan dan sebagainya.

“Selain itu, kapasiti jalur lebar juga diperlukan untuk menampung keperluan tambahan di lokasi kritikal seperti hospital, pusat kuarantin, agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pusat media,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, daripada makluman SKKM, aliran trafik internet seluruh negara meningkat sebanyak 23.5 peratus pada minggu pertama PKP dan 8.6 peratus pada minggu kedua, bagaimanapun pada minggu ketiganya menyaksikan penurunan 1.6 peratus.

“Trend berkenaan menyebabkan kesesakan dan penurunan kelajuan muat turun yang memberi kesan kepada pengalaman pengguna.

“Justeru kita sedang mengoptimumkan rangkaian dan peningkatan kapasiti radio di kawasan mempunyai penggunaan tinggi, melaksanakan penyuraian penggunaan kapasiti rangkaian untuk memenuhi permintaan bandwidth yang meningkat di premis kediaman dan menaik taraf sambungan backhaul tanpa wayar kepada sambungan gentian optik.

“Peruntukan itu akan dimanfaatkan bagi meningkatkan kapasiti rangkaian utama domestik termasuk menyediakan infrastruktur gentian optik baharu, meningkatkan bandwidth sambungtara dan menggunapakai kapasiti rizab,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan kapasiti rangkaian antarabangsa, menyediakan stesen pemancar mudah alih serta menyediakan akses Wi-Fi untuk menangani isu berkaitan dengan trafik rangkaian di kawasan kritikal.

“Sepanjang proses penambahbaikan ini, SKMM memantau prestasi rangkaian dan memudah cara sebarang cabaran dihadapi pemberi perkhidmatan dalam melaksanakan tugas mereka.

“Kerajaan juga memberikan internet berkelajuan tinggi percuma dengan kapasiti 1GB untuk pelanggan pascabayar dan prabayar antara jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari sehingga PKP tamat,” katanya.

Katanya, perkhidmatan jalur lebar tetap ditawarkan kepada pelanggan tanpa sebarang had data, bagi menggalakkan masyarakat memanfaatkan masa mereka sepenuhnya di rumah.

“Saya berharap rakyat dapat bersabar dan memahami kekangan yang dihadapi oleh pihak industri dalam melaksanakan usaha penambahbaikan bandwidth secara berterusan demi kebaikan bersama.

“Saya yakin kesalinghubungan digital berdaya tahan bakal menanti rakyat apabila semua inisiatif dirancang kerajaan dilaksanakan dengan hasil sokongan diberikan pelbagai pihak berkepentingan untuk kesejahteraan semua,” katanya.

Berita Harian X