Selasa, 14 April 2020 | 6:39pm
KETUA Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
KETUA Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

NGO perlu dapatkan spesifikasi PPE

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan meminta orang ramai atau badan bukan kerajaan (NGO) mendapatkan garis panduan pakaian perlindungan peribadi (PPE) sebelum menjahit atau menghantar sumbangan berkenaan.

Ketua Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata petugas kementerian akan memberi spesifikasi PPE itu supaya dibuat menggunakan bahan yang sesuai.

“Kita mengalu-alukan orang ramai yang ingin membuat sumbangan PPE kepada kementerian untuk digunakan oleh petugas barisan hadapan semasa mengendalikan pesakit COVID-19.

“Mereka yang ingin menyumbang, boleh hubungi kami untuk mengetahui garis panduan seperti bagaimana untuk membuat PPE berkenaan dan juga jenis bahan (kain) yang digunakan,” katanya kepada dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Kelmarin, Dr Noor Hisham mendedahkan bekalan PPE di negara ini hanya mampu bertahan selama dua minggu dan penggunaan alatan terbabit dilihat meningkat secara drastik antara tiga hingga 10 kali ganda, susulan penularan COVID-19 di seluruh negara.

Katanya, kekurangan PPE isu global dan ia secara tidak langsung kelengkapan berkenaan menjadi satu keperluan utama bagi petugas kesihatan barisan hadapan dalam menghadapi wabak itu.

Ditanya mengenai langkah Malaysia Airlines akan menyambung semula operasi penerbangan ke Sabah dan Sarawak bermula minggu ini, Dr Noor Hisham berkata, setiap penumpang akan menjalani saringan kesihatan sebelum menaiki pesawat dan selepas tiba di lokasi terbabit.

“Kita kena saring penumpang sebelum menaiki pesawat dan ketika mereka tiba destinasi. Kementerian akan pastikan saringan itu dibuat menggunakan pengimbas terma (thermal scanner).

“Sekiranya demam, kita tidak galakkan individu terbabit menaiki pesawat berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata, Malaysia Airlines akan memastikan penerbangan itu dihubungkan oleh MASWings bagi laluan Miri-Bintulu, Kuching-Sibu-Kuching dan Sibu-Bintulu.

Bagaimanapun beliau berkata, perkhidmatan kargo Malaysia Airlines, khususnya membawa makanan dan keperluan perubatan ke Sarawak tidak pernah dihentikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malaysia Airlines sebelum ini dilapor memberhentikan penerbangan ke Sabah dan Sarawak kerana menghadapi kerugian yang akan memberi implikasi lebih buruk jika diteruskan.

Malaysia Airlines mencatat penurunan jumlah penumpang antara 10 hingga 15 peratus, susulan penularan COVID-19.

Berita Harian X