Selasa, 14 April 2020 | 4:40pm
Menteri Pengangkutan negeri, Datuk Lee Kim Shin. - Foto NSTP
Menteri Pengangkutan negeri, Datuk Lee Kim Shin. - Foto NSTP

'Terima kasih Kerajaan Persekutuan, Malaysia Airlines'

KUCHING: Kerajaan Sarawak lega dengan keputusan Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines yang bersetuju meneruskan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak mengikut laluan dan kekerapan yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan negeri, Datuk Lee Kim Shin, berkata persetujuan itu dicapai selepas perbincangan antara beliau bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail.

Beliau berkata, antara laluan dan kekerapan yang dipersetujui ialah Kuala Lumpur-Kuching-Kuala Lumpur sekali seminggu iaitu setiap Khamis, bermula 16 April hingga 14 Mei 2020 dan Kuala Lumpur-Miri-Kuala Lumpur juga sekali seminggu iaitu pada setiap Jumaat berkuat kuasa pada 16 April sehingga 14 Mei 2020.

“Laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu-Kuala Lumpur juga sekali seminggu, iaitu setiap Khamis bermula 16 April hingga 14 Mei 2020.

“Malaysia Airlines turut memberi jaminan selain penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak, bandar-bandar lain di negeri ini juga boleh dihubungi menerusi penerbangan MASwings,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara laluan MASwings ialah Sibu-Bintulu-Sibu dan Miri-Bintulu- Miri.

Kim Shin berkata, Malaysia Airlines juga mengesahkan jumlah penerbangan akan ditambah jika penumpang meningkat.

Pada masa yang sama, Malaysia Airlines akan memastikan penerbangan kargo antara Kuala Lumpur dan Sarawak diteruskan terutama bagi barangan penting seperti ubat-ubatan.

“Kerajaan Sarawak dan Persekutuan akan terus memantau keadaan dan memastikan tiada gangguan penerbangan penumpang serta kargo dari Kuala Lumpur ke Sarawak.

“Saya bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, atas kerjasama dan keputusan segera membenarkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak selain perkhidmatan MASwings,” katanya.

Sebelum ini Malaysia Airlines memutuskan semua penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak dibatalkan berkuat kuasa dari 15 April hingga 30 April ini.

Berikutan itu, JPBN Sarawak mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengangkutan kerana penerbangan antara Kuala Lumpur ke Sarawak tidak boleh dihentikan berikutan kedudukan Sarawak yang berada di atas pulau.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X