Selasa, 14 April 2020 | 3:27pm
Kerajaan akan menerima secara berperingkat kemasukan warga Malaysia dari Singapura bagi membolehkan persediaan rapi dilakukan. - Foto NSTP
Kerajaan akan menerima secara berperingkat kemasukan warga Malaysia dari Singapura bagi membolehkan persediaan rapi dilakukan. - Foto NSTP

Warga Malaysia di Singapura boleh kembali ke tanah air secara berperingkat

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menerima secara berperingkat kemasukan warga Malaysia dari Singapura bagi membolehkan persediaan rapi dilakukan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu ditetapkan dalam rundingan antara Kementerian Sumber Manusia kedua-dua negara.

"Kementerian Sumber Manusia Malaysia telah berunding dengan Kementerian Sumber Manusia Singapura dan jika hendak benarkan pekerja Malaysia pulang, ia akan dilakukan secara berperingkat.

"Misalnya, ada 20,000 orang, kita akan uruskan mereka dari segi kemasukan... mungkin 250 hingga 300 orang satu hari supaya kita boleh bersedia dari segi pusat kuarantin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri turut mengesahkan tiada kemasukan besar-besaran rakyat Malaysia dari Singapura ke negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, hari ini. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, rakyat Malaysia masih bekerja, diberi tempat tinggal dan elaun makan oleh republik itu.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kerajaan sentiasa bersedia jika terdapat kemasukan warga Malaysia dalam jumlah besar dari republik itu.

"Setakat hari ini, tidak ramai rakyat kita masuk ke Johor Bahru dari Singapura.

"Walaupun angka ramai kemasukan harian sekitar 1,900 hingga 2,000 setiap hari tetapi 90 peratus daripada mereka terbabit dengan perkhidmatan logistik iaitu penghantaran barangan segar Malaysia ke Singapura.

"Benar-benar rakyat kita cuma 10 peratus iaitu dalam 200 satu hari setakat hari ini. Justeru, mereka yang balik dari Singapura perlu dibuat saringan kesihatan dan dikuarantin di pusat kuarantin diwujudkan kerajaan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X