Isnin, 13 April 2020 | 6:31pm

25 kluster, subkluster COVID-19

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini mengesan 25 kluster dan subkluster individu yang dijangkiti COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling ehingga kini kekal sebagai kluster terbesar, mewakili 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit yang disahkan positif wabak berkenaan.

“Kluster lain kita sudah umumkan, tetapi masih ada kluster kecil yang kita belum umum lagi.

“Oleh itu, kita jalankan pengesanan dan ujian saringan secara aktif, selain memberikan rawatan terbaik kepada setiap kluster,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Mengikut perangkaan semasa, Dr Noor Hisham mengesahkan jumlah kes sporadik COVID-19 kekal sebanyak 69 kes, sejak kaji selidik dilaksanakan pada Januari lalu.

Punca jangkitan semua kes sporadik itu tidak dapat dikesan, manakala penelitian lanjut mendapati ia tiada sejarah perjalanan ke luar negara dan pergaulan dengan individu berisiko tinggi.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham menyanggah laporan bahawa COVID-19 mempunyai impak sama seperti penyakit HIV yang merencatkan sistem pertahanan badan dan tindak balas terhadap jangkitan antigen.

Beliau menjelaskan bahawa wujud tujuh jenis coronavirus yang menjangkiti manusia dan terkenal sebelum ini seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) serta Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

"COVID-19 ialah virus baharu membabitkan dua peringkat jangkitan. Ia tidak sama dengan HIV/AIDS kerana bagi COVID-19, peringkat pertama adalah jangkitan dan peringkat kedua iaitu inflamasi atau keradangan.

"Kita cuba elakkan jangkitan masuk ke dalam rongga paru-paru dan sebagainya sebab virus itu akan masuk dalam sel dan mengakibatkan keradangan.

"Apabila berlaku keradangan, ini yang boleh membawa maut," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X