Ahad, 12 April 2020 | 5:33pm
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto BERNAMA

COVID-19: Kes aktif COVID-19 kini 2,499

PUTRAJAYA: Sebanyak 113 kes dilaporkan pulih daripada COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada wabak itu kepada 2,108 kes atau 45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, ada 153 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 4,683 kes.

“Selepas kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,499 kes. Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan.

"Sehingga kini, seramai 66 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 37 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Selain itu, katanya, tiga kes kematian baharu turut dicatatkan, menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu setakat ini adalah seramai 76 kes iaitu 1.62 peratus daripada keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham, berkata kes kematian ke-74 (kes ke-4,531) membabitkan lelaki

warga tempatan berusia 54 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

“Beliau dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban pada 11 April lalu dan disahkan meninggal dunia jam 1.50 pagi tadi.

"Kes kematian ke-75 (kes ke-3,469) membabitkan lelaki tempatan berusia 90 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Beliau dirawat di Hospital Taiping pada 1 April dan disahkan meninggal dunia jam 5.23 pagi tadi," katanya.

Beliau memaklumkan, kes kematian ke-76 (kes ke-4,314) membabitkan wanita warga tempatan berusia 47 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 8 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.36 pagi hari ini," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham meminta masyarakat tidak mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan COVID-19.

“Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, kita membantu mengesan dan merawat jangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka yang terbabit, keluarga dan kontak mereka," katanya.

Beliau juga meminta masyarakat memberi kerjasama kepada agensi yang terbabit dalam memenangi kejadian COVID-19.

Seperti dimaklumkan, katanya, tempoh dua minggu akan datang amat penting dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan

dapat diputuskan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X