SIMPANG RENGGAM: Pilihan sama ada mahu meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh yang lebih lama atau ditamatkan mengikut masa yang ditetapkan kerajaan terletak di tangan rakyat.
Panglima Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami, berkata justeru rakyat harus memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi setiap arahan yang sudah dikeluarkan.
Katanya, bukan niat kerajaan untuk menyusahkan rakyat kerana dalam keadaan seperti ini semua orang susah dan ia perlu dihadapi bersama sebelum boleh kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini.
“Memanglah apabila kita dah biasa hidup dalam keadaan senang dan tiba-tiba diuji seperti ini masing-masing akan merasakan kebebasan mereka disekat.
“Namun inilah usaha yang perlu dibuat untuk memutuskan rantaian penyebaran wabak COVID 19 ini,” katanya
Mohd Nazir berkata demikian selepas membuat lawatan ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Bandar Baru Ibrahim Majid dekat sini, hari ini.
Hadir sama adalah Panglima 3 Division, Mejor Jeneral Datuk Tengku Mohammad Fauzi Tengku Ibrahim, Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu dan Yang DiPertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Mohamad Sukry Abd Rahim.
Dalam pada itu, Mohd Nazir berkata, pihaknya bersedia untuk terus memberikan bantuan sewajarnya sekiranya PKP dilanjutkan hingga ke bulan Syawal nanti.
“Bagaimana pun, sekiranya penambahan anggota diperlukan, Tentera Darat akan melihat dari sudut lain kerana kami juga terbabit dengan penugasan teras di dalam mengawal sempadan negara.
“Semuanya tertakluk kepada situasi kerana keberangkalian untuk rakyat asing memasuki semula negara ini apabila PKP ini dilonggarkan nanti,” katanya.