Khamis, 9 April 2020 | 5:22pm

Pelajar UNIMAS korban ke-13 COVID-19 Sarawak

KUCHING: Sarawak hari ini mencatat seorang lagi korban COVID-19 menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu di negeri ini kini 13 kes.

Mangsa terbaru itu adalah seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berumur 23 tahun dan tinggal di Kota Samarahan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini berkata, ibu bapa mangsa juga telah disahkan positif COVID- 19.

“Mangsa menghadapi kesukaran untuk bernafas pada 30 Mac yang lalu telah dimasukkan ke wad ICU Hospital Umum Sarawak (HUS) pada hari yang sama dan disahkan meninggal pada jam 9.42 pagi hari ini,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, enam lagi kes baharu positif COVID-19, menjadikan bilangan kes di Sarawak sebanyak 312 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Daripada enam kes itu, lima dirawat di HUS dan satu kes di Hospital Bintulu.

Bagi kes individu dalam siasatan pula, sebanyak 141 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 2,005 kes.

Daripada jumlah itu, 1,548 kes adalah negatif dan 145 kes PUI masih menunggu keputusan ujian makmal.

Berita Harian X