Khamis, 9 April 2020 | 5:19pm

COVID-19: Empat kadar zakat fitrah di Kedah bermula RM5

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengumumkan kadar zakat fitrah baharu tahun ini iaitu RM5 bagi memberi ruang kepada golongan kurang berkemampuan menunaikan kewajipan itu semasa penularan coronavirus (COVID-19).

Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dan Agihan LZNK yang juga Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, berkata kadar baharu itu antara empat kadar zakat fitrah yang ditetapkan iaitu RM7, RM14 dan RM21.

Katanya, bagi umat Islam yang berkemampuan, mereka digalakkan untuk membayar zakat fitrah dengan kadar lebih baik.

“Sekiranya kita makan beras tempatan dengan kadar hancur lima peratus (RM7) dan mampu bayar lebih pada kadar RM14 iaitu beras import atau RM21 iaitu beras basmathi maka kita digalakkan bayar dengan kadar yang lebih baik.

“Ini kerana agama Islam menggalakkan umatnya membuat perkara yang lebih baik,” katanya pada sidang media di menara zakat di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, bagi mereka yang tidak berkemampuan dan terkesan teruk semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), agama Islam memberi kelonggaran kepada mereka.

Sebagai contoh, katanya, jika ketua keluarga mempunyai tanggungan anak yang ramai seperti lima orang maka mereka hanya diwajibkan membayar untuk tiga orang sahaja iaitu suami, isteri dan seorang anak sahaja.

“Agama Islam tidak membebankan umatnya, zakat fitrah ini adalah untuk membersihkan diri kita daripada kelalaian sepanjang ibadat puasa selain membantu asnaf.

“Cuma pada tahun ini dinasihatkan orang ramai membayar zakat fitrah di awal Ramadan bagi mengelak berlaku kesesakan kaunter zakat,” katanya.

Fadzil berkata, seramai 3,700 amil yang dilantik akan berada di kaunter yang akan ditentukan kelak dan mereka akan menerima bayaran mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang pendamik COVID-19.

Bagaimanapun, LZNK menggalakkan pembayar zakat fitrah membuat pembayaran menerusi beberapa platform secara dalam talian.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X