Ahad, 5 April 2020 | 10:56am
 Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun. FOTO/ NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun. FOTO/ NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Guna hotel jadi pusat kuarantin bantu pengusaha terus beroperasi

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menggunakan hotel sebagai antara pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, dilihat membantu kelangsungan perniagaan perhotelan yang kini terjejas berikutan penularan wabak COVID-19.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun, turut menyambut baik usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mewartakan industri hotel dan inap desa sebagai antara perkhidmatan penting yang boleh terus beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Keputusan ini akan dapat membantu ahli kami yang kini begitu tertekan dengan ketidaktentuan perniagaan,” katanya.

MATA mewakili 3,116 ahli terdiri daripada pengusaha syarikat pelancongan, premis penginapan, inap desa, pemandu pelancong, syarikat penerbangan, taman tema, penggurup wang, insurans serta usahawan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam pada itu, Mohd Khalid menjangkakan kerajaan akan memperkasakan Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu golongan PKS tidak lama lagi, berdasarkan pertemuannya dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 31 Mac lalu.

“Apa yang kami harapkan daripada pakej itu nanti adalah sesuatu yang dapat memberi kelegaan kepada pemain industri pelancongan, sekali gus menyelamatkan hampir satu juta pekerja daripasa kehilangan pekerjaan.

“Dalam mendepani keadaan ekonomi global yang tidak menentu disebabkan COVID-19, MATA menyeru semua ahli untuk menumpu dan membangunkan produk pelancongan domestik.

“MATA akan mengadakan perbincangan dengan Tourism Malaysia untuk tujuan itu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X