Sabtu, 4 April 2020 | 9:36am
 Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. FOTO/ NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. FOTO/ NSTP

COVID-19: PDRM terima data 40,000 individu

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima data rangkaian penularan COVID-19 membabitkan kira-kira 40,000 individu, termasuk mereka yang dikaitkan dengan kluster tabligh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata data berkenaan diperincikan oleh pasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diketuai Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed bagi mengesan mereka yang berkemungkinan terbabit dengan jangkitan wabak itu.

Beliau berkata, hasil daripada data KKM itu, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa daerah, lokasi individu dan kumpulan yang seharusnya perlu tampil membuat saringan pemeriksaan COVID-19.

“Kami membuat analisis daripada data itu dengan membantu KKM mengenal pasti sehingga lebih kurang 11,000 ahli tabligh yang menyertai majlis ijtimak di Masjid Seri Petaling, di sini, baru-baru ini.

“Daripada data ini, pasukan berkenaan memperhalusi dan menggunakan kaedah tertentu untuk mengenal pasti rangkaian kontak rapat, perjalanan dan siapa yang mungkin dijangkiti mereka.

“Kami kenal pasti individu itu termasuklah mendapatkan maklumat lengkap seperti alamat rumah, nombor telefon dan kad pengenalan yang diperoleh daripada pasukan itu untuk diserahkan kepada KKM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan kumpulan ahli tabligh itu sudah disaring dan pihak polis menyeru orang ramai supaya tidak mengecam dan mendiskriminasi mereka.

Selain itu, Abdul Hamid berkata pasukan berkenaan juga sedang berusaha memperoleh maklumat ahli tabligh yang berada di luar negara dan akan menyerahkannya kepada pihak Jabatan Imigresen atau pihak pelabuhan bagi urusan memantau kepulangan mereka di lapangan terbang dan pelabuhan

“Ini bertujuan untuk sahkan kumpulan ahli tabligh yang tiba sebelum mereka dibawa ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan pihak penganjur ijtimak tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling di sini mendakwa sebanyak 95 peratus daripada kira-kira 11,000 peserta perhimpunan tabligh sudah tampil membuat saringan kesihatan bagi COVID-19.

Susulan itu, polis menubuhkan pasukan petugas membabitkan pegawai dan anggota JSJ di semua peringkat daerah dan kontinjen polis negeri dalam usaha mengesan mereka yang menghadiri perhimpunan itu dari 28 Feb hingga 1 Mac lalu yang kini menjadi kluster terbesar jangkitan COVID-19 di negara ini. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X