Khamis, 2 April 2020 | 10:41pm
TIMBALAN Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar. NSTP/Rohanis Shukri.
TIMBALAN Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar. NSTP/Rohanis Shukri.

Rakyat Malaysia terkandas di Chad perlu hubungi kedutaan di Abuja

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang terkandas di Chad dan Nigeria diminta terus berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, ibu negeri Nigeria, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar, berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Lapangan Terbang N’djamena Chad akan terus ditutup sehingga satu tarikh yang akan diumumkan nanti.

“Rakyat Malaysia yang terkandas di Chad dimohon untuk berhubung terus dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja melalui talian +2347031365197,” katanya, dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mengenai rakyat Malaysia yang terkandas di Algeria seperti yang tular di media sosial semalam, Kamarudin berkata, Wisma Putra ambil maklum tentang perkara itu.

“Buat masa ini, kerajaan Algeria telah menggantung operasi semua penerbangan komersial di negara itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Algeria sedang dalam proses menguruskan satu penerbangan sewa khas bagi membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkandas di Algeria,” katanya.

Kamarudin berkata Wisma Putra melalui perwakilan Malaysia akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara terpelihara.

Perwakilan Malaysia juga akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat.

Wisma Putra turut mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkesan di luar negara akibat pandemik COVID-19, katanya.

Mengenai rakyat Malaysia yang terkandas di India, beliau berkata seramai 359 rakyat Malaysia yang terkandas di Tiruchirappalli (Trichy) selamat tiba ke tanah air dengan dua pesawat sewa khas Malindo Air yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 5.50 pagi dan 4.46 petang hari ini.

Penerbangan seterusnya dari India dijadualkan tiba di Malaysia dari 3 hingga 6 April bagi membawa pulang seramai 1,790 rakyat Malaysia yang masih terkandas di India termasuk di New Delhi, Mumbai, Chennai dan Trichy, katanya.

Tambah beliau, seramai 266 rakyat Malaysia direkodkan masih terkandas di Australia sementara 59 warga Malaysia yang terkandas di Melbourne dijangka tiba di KLIA pada 8.30 malam ini. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X