Khamis, 2 April 2020 | 6:24pm
Seramai 359 rakyat Malaysia yang terkandas di Tiruchirappalli (Trichy), India selamat tiba di klia2 hari ini. - Foto FB klia2.info
Seramai 359 rakyat Malaysia yang terkandas di Tiruchirappalli (Trichy), India selamat tiba di klia2 hari ini. - Foto FB klia2.info

COVID-19: 359 terkandas di India selamat tiba di klia2

PUTRAJAYA: Seramai 359 rakyat Malaysia yang terkandas di Tiruchirappalli (Trichy), India selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) hari ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata kumpulan ini tiba menerusi dua pesawat sewa khas Malindo Air pada jam 5.50 pagi dan 4.46 petang tadi.

Beliau berkata, penerbangan seterusnya dari India dijadualkan tiba ke tanah air pada 3 hingga 6 April 2020 bagi membawa pulang seramai 1,790 rakyat Malaysia yang masih terkandas di New Delhi, Mumbai, Chennai dan Trichy.

Katanya, sementara itu, seramai 266 rakyat Malaysia direkodkan masih terkandas di Australia.

“Seramai 59 rakyat Malaysia yang terkandas di Melbourne, Australia dijangka tiba di KLIA hari ini jam 8.30 malam," katanya melalui kenyataan akhbar.

Menjawab persoalan yang tular di media sosial semalam, berkenaan rakyat Malaysia yang terkandas di Algeria, beliau berkata Wisma Putra telah mengambil maklum berkenaan perkara itu.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Wisma Putra, berkata buat masa ini, Kerajaan Algeria telah menggantung operasi semua penerbangan komersial di negara itu.

Jelas beliau, bagaimanapun konsulat Malaysia di Algeria sedang dalam proses menguruskan satu penerbangan sewaan khas bagi membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkandas.

"Berdasarkan maklumat konsulat Malaysia di Abuja, Nigeria, Lapangan Terbang N’djamena Chad dijangka dibuka semula pada 3 April 2020.

"Rakyat Malaysia yang terkandas di Chad dimohon untuk terus berhubung dengan konsulat Malaysia bagi membolehkan proses membawa pulang mereka ke tanah air dengan selamat," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X