X
Khamis, 2 April 2020 | 12:02pm

Kubikel bantu elak jangkitan

KUALA LUMPUR: Sekumpulan petugas kesihatan bergandingan dengan arkitek dan jurutera tempatan, mengambil inisiatif membangunkan teknologi kubikel yang mampu membantu mengelakkan jangkitan virus COVID-19 dalam kalangan doktor serta jururawat ketika menyaring pesakit.

Kemudahan dinamakan ‘Projek I3S Cubicle’ berkenaan dibangunkan oleh pengamal perubatan mewakili Klinik Awfa KotaSAS dan Pertubuhan Medical Mythbusters Malaysia serta kumpulan Facebook, ‘Ini Sains Beb’ yang menghimpunkan individu daripada pelbagai kepakaran berteraskan sains, termasuk pensyarah, jurutera dan arkitek.

Menerusi kubikel itu, risiko jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan kerana teknologi yang dibangunkan tidak memerlukan kontak di antara petugas kesihatan, terutama doktor dan jururawat dengan mereka yang sedang disaring.

Ketua Projek I3S Cubicle, Dr Ahmed Kamarulzaman, berkata I3S bermaksud isolate (pengasingan), examine (pemeriksaan) dan sampling (pensampelan), dibangunkan dengan beberapa konsep, antaranya adalah sistem pengaliran udara yang menjadi punca jangkitan wabak berkenaan.

Terdapat dua ruang di dalam kubikel itu, iaitu ruang untuk petugas kesihatan dan ruang pesakit, kedua-duanya tidak berkongsi udara kitar semula, sekali gus mampu mengelakkan pencemaran udara dari bilik pesakit ke bilik petugas.

“Yang lebih penting, kemudahan berkenaan turut dilengkapi penapis udara berzarah kecekapan tinggi (HEPA),” katanya kepada BH.

Dr Ahmed Kamarulzaman
Dr Ahmed Kamarulzaman

Petugas juga, katanya, tidak bersemuka secara langsung dengan pesakit dan menggunakan sarung tangan khas ketika penyaringan dilaksanakan. Lebih penting, ia memudahkan petugas melakukan prosedur seperti pengambilan darah dan sampel.

Dr Ahmed menjelaskan, pihaknya perlu membangunkan teknologi berkenaan secepat mungkin kerana pandemik COVID-19 semakin meruncing dan memerlukan penyelesaian segera, khususnya dalam menangani isu keselamatan dan risiko dihadapi petugas barisan hadapan.

Katanya, penularan wabak kelihatan semakin meruncing dan dijangka boleh berlarutan sehingga dua minggu lagi, iaitu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Penggunaan kubikel ini bakal mengurangkan penggunaan PPE secara drastik dan mampu menangani ancaman risiko kesihatan kepada semua pihak,” kata Dr Ahmed sambil menambah, kos membangunkan prototaip kemudahan berkenaan dibiayai dana hasil sumbangan orang ramai.

Beliau berkata, pembangunan prototaip menelan belanja RM7,000 dan boleh mencecah RM10,000 untuk dipasang lengkap di lokasi saringan.

Untuk maklumat lanjut mengenai teknologi itu serta sumbangan dana, hubungi wakil kumpulan berkenaan, Muhammad Azim di talian 014-5170408.

Berita Harian X