X
Isnin, 30 March 2020 | 6:48pm

COVID-19: 3,200 penghuni Menara City One, KL kena 'berkurung'

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, di sini berkuat kuasa 31 Mac hingga 13 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata arahan PKPD ketiga itu membabitkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu.

Katanya, PKPD di kawasan itu diputuskan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan ada 17 kes positif jangkitan COVID-19 di Menara City One.

Mengambil kira jumlah kes berkenaan, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan arahan ketiga PKPD di premis berkenaan.

ISMAIL Sabri Yaakob. - Foto/BERNAMA
ISMAIL Sabri Yaakob. - Foto/BERNAMA

Ismail Sabri berkata, PKPD itu dilaksanakan bertujuan membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Dengan pelaksanaan perintah itu,

* Semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

* Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

* Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan di menara itu.

* Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara.

* Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.

* Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-2694 3243/ 03-4026 7222 atau 013-329 5141.

Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Anggota Polis mengawal Menara City One, Jalan Munshi Abdullah selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di bangunan itu setelah terdapat 17 mangsa positif COVID-19. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Anggota Polis mengawal Menara City One, Jalan Munshi Abdullah selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di bangunan itu setelah terdapat 17 mangsa positif COVID-19. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X