Ahad, 29 March 2020 | 12:11am
Kementerian Kesihatan menegaskan bekalan ubat untuk COVID-19 mencukupi. Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS.
Kementerian Kesihatan menegaskan bekalan ubat untuk COVID-19 mencukupi. Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS.

COVID-19: Bekalan ubat cukup

KUALA LUMPUR: Bekalan ubat Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir sedia ada di Malaysia yang digunakan untuk merawat penyakit lain, boleh digunakan dalam rawatan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketiga-tiga ubat berkenaan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan sudah sedia ada di negara ini untuk rawatan penyakit lain.

"Bekalan ubat-ubatan yang memerlukan pengimportan seperti Favipiravir dan Remdesivir akan sentiasa dimudah cara oleh Kementerian Kesihatan bagi kegunaan rawatan COVID-19.

"Bagi ubat kajian Remdesivir, Malaysia dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk terbabit dalam kajian klinikal ‘Multicenter Adaptive Solidarity trial - COVID-19’ yang ubat kajian itu akan digunakan.

"NPRA akan menyediakan laluan ‘expedited review’ untuk membawa masuk produk kajian klinikal ini ke Malaysia secepat mungkin. Bagi ubat Favipiravir, kementerian sedang mendapatkan ubat ini daripada pembekal," katanya di Facebooknya, malam ini.

Dr Noor Hisham berkata, sekiranya bekalan daripada pihak pemegang pendaftaran sedia ada untuk ubat-ubatan tidak mencukupi, kementerian masih boleh mendapatkan bekalan alternatif daripada produk yang tidak berdaftar dengan menggunakan pengecualian peruntukan undang-undang kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan.

"Kementerian akan menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin demi kepentingan pesakit," katanya.

Berita Harian X