Sabtu, 28 March 2020 | 11:33am
Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Aljunid
Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Aljunid

COVID-19: Media Prima serah ventilator kepada Hospital Shah Alam

KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), menyerahkan mesin ventilator untuk kegunaan Hospital Shah Alam bagi menangani wabak COVID-19, semalam

Ia hasil sumbangan orang ramai menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (MPNHF).

Pengerusi Kumpulannya, Datuk Syed Hussian Aljunid, berkata Media Prima juga akan menyerahkan sebuah lagi mesin ventilator kepada Hospital Shah Alam, selewat-lewatnya minggu hadapan.

Beliau berkata, selain mesin ventilator, bekalan makanan untuk pekerja barisan hadapan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh turut diagihkan bermula hari ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan mereka serta murah hati dalam memberi sumbangan kepada kempen ini.

“Kami juga ingin berterima kasih kepada pembekal, Lulu Hypermarket and Department Store Kuala Lumpur dan Medik-Link Sales and Services, atas sokongan mereka,” katanya.

MPNHF dilancarkan 23 Mac lalu, mula digunakan untuk membeli kelengkapan perubatan dan barangan penting kegunaan tiga hospital.

Menerusi tabung itu, Media Prima juga akan membekalkan bahan-bahan bagi pembuatan pelindung muka buatan sendiri untuk kakitangan barisan hadapan HKL dan bekalan makanan untuk kakitangan barisan hadapan dan perubatannya serta Hospital Sungai Buloh.

Katanya, krisis COVID-19 menjejaskan kehidupan ramai rakyat Malaysia dan masyarakat mestilah bersatu dalam memerangi wabak ini.

“Kami merayu sokongan dan sumbangan segera orang ramai kepada dana tersebut. Kami akan terus berhubung dengan lebih banyak hospital di seluruh negara dalam mengenalpasti keperluan segera dan kritikal mereka,” katanya.

Orang ramai boleh terus menyumbang kepada tabung ini menerusi cek, perbankan dalam talian atau deposit kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (MAYBANK: 5141-0532-3170).

Penderma boleh emel slip transaksi bank dan menulis COVID-19 kepada communications@mediaprima.com.my untuk pengeluaran resit bagi mendapatkan pengecualian cukai.

Semua cek boleh dibayar (payable) kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis ‘COVID-19’ di belakang cek berkenaan.

Sila alamatkan cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X