Jumaat, 27 March 2020 | 3:07pm
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - FOTO DANIAL SAAD
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - FOTO DANIAL SAAD

COVID-19: Ketua Menteri, EXCO Pulau Pinang potong sebulan gaji

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bersetuju menyumbang satu bulan gaji masing-masing untuk Tabung COVID-19 negeri.

“Kita akan bersama ketika masa senang dan susah. EXCO kerajaan negeri termasuk saya bersetuju menyumbang sebulan gaji kami untuk Tabung COVID-19 negeri,” katanya, hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan semua anggota Kabinet bersetuju gaji masing-masing dipotong selama dua bulan untuk disalurkan kepada Tabung COVID-19.

Ia membabitkan gaji Perdana Menteri, menteri serta timbalan menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan, tahap pematuhan rakyat di negeri ini terhadap Perintah Kawalan Pergerakan kini pada 94 peratus.

Katanya, jawatankuasa bertindak sudah digerakkan di setiap daerah untuk menambah baik pematuhan terhadap peintah berkenaan.

“Kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan akan memastikan bekalan makanan tidak terputus. Sekali lagi, saya tegaskan kita memerlukan kerjasama semua rakyat untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan turut memperkenalkan kaedah pengagihan barang makanan dan keperluan asas secara lebih sistematik kepada mereka yang memerlukan.

“Sebelum ini, pengagihan dilakukan oleh setiap wakil rakyat, kini kerajaan negeri mengambil inisiatif dalam menstruktur semula kerja-kerja pengagihan.

“Inisiatif ini akan mengturangkan pergerakan, terutama pergerakan yang tidak teratur sepanjang perintah ini dikuatkuasakan.

“Ia juga akan menghalang individu yang terbabit dalam kerja pengagihan daripada terdedah kepada jangkitan wabak tanpa perlnidungan sepatutnya selain sebarang kerugian disebabkan kerja-kerja pengagihan yang tidak dirancang dengan sepatutnya,” katanya.

Berita Harian X