X
Jumaat, 27 March 2020 | 1:44pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

COVID-19: MB Perak putuskan potong dua bulan gaji

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memutuskan memotong dua bulan gajinya untuk disalurkan kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

Ahmad Faizal berkata, beliau mengambil keputusan itu untuk bulan ini dan bulan hadapan bagi membantu golongan yang memerlukan susulan COVID-19, di negeri itu.

“Saya memutuskan memotong dua bulan gaji Menteri Besar bagi disalurkan kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

“Ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Kabinet untuk memotong dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan ke Tabung COVID-19 di peringkat Pusat,” katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan badan korporat dan swasta untuk menyumbang kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

“Kerajaan Negeri Perak akan terus mengkaji inisiatif bantuan khas tambahan bagi memastikan nasib golongan sasar mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kita mengalu-alukan semua inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk meringankan beban rakyat dan langkah tambahan yang dijangka akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan siasatan kemungkinan kaitan mangsa pertama yang menjadi korban COVID-19 di negeri ini dengan mana-mana kluster wabak itu.

“Kerajaan negeri turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita korban pertama wabak COVID-19 di negeri ini membabitkan seorang pesakit berusia 62 tahun yang berasal dari Kajang, Selangor.

“Kita percaya pasukan perubatan di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) sudah melakukan yang terbaik merawat mangsa sejak dirujuk ke hospital itu, pada 23 Mac 2020,” katanya.

Beliau berkata, justeru Kerajaan Negeri mengulangi rayuan kepada semua rakyat untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya perlu sahaja serta mengamalkan jarak sosial.

“Saya mengambil kesempatan meminta semua rakyat Perak untuk bersatu hati dan memberikan kerjasama bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“Kita perlu bimbang kerana dua daerah di negeri ini iaitu Hilir Perak dan Kinta sudah diklasifikasikan sebagai kawasan Zon Merah selepas melepasi paras 40 kes positif COVID-19, dengan masing-masing mencatatkan 48 dan 41 kes positif sehingga semalam.

“Selain itu, jumlah kes jangkitan positif di seluruh negeri pula terus meningkat kepada 151 kes sehingga semalam, membabitkan hampir kesemua daerah di negeri ini, kecuali Kampar,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, Kerajaan Negeri dengan penuh hormat dan takzimnya atas perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meluluskan RM11.95 juta Dana Khas Agihan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) untuk membantu golongan asnaf terjejas susulan PKP dan bantuan kepada petugas barisan hadapan COVID-19.

Beliau mahu umat Islam melaksanakan solat hajat di rumah masing-masing selepas solat Zohor hari ini.

“Bagi memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar negara ini segera bebas daripada ancaman wabak COVID-19 serta dikurniakan kesembuhan sepenuhnya buat semua pesakit dan para petugas barisan hadapan, khususnya kakitangan Hospital Teluk Intan yang disahkan positif jangkitan COVID-19,” katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X