Khamis, 26 March 2020 | 7:23pm
Gambar fail, Timbalan Ketua Menteri 1 yang juga Yang Dipertua MAINPP Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.
Gambar fail, Timbalan Ketua Menteri 1 yang juga Yang Dipertua MAINPP Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.

COVID-19: MAINPP umum inisiatif bantuan

GEORGETOWN: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif bantuan kepada umat Islam negeri ini yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Menteri 1 yang juga Yang Dipertua MAINPP Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, berkata antara inisiatif itu ialah memberi pengecualian selama dua bulan sewaan premis MAINPP bagi bulan April dan Mei.

Katanya, Tabung Wira Negara-MAINPP juga diwujudkan bagi membantu menyalurkan sumbangan kepada barisan hadapan yang bertugas di Pulau Pinang.

“Bantuan itu akan disalur kepada pasukan perkhidmatan kesihatan, keselamatan seperti polis dan tentera bagi membeli keperluan peralatan dan juga bekalan makanan.

“Buat permulaan MAINPP akan menyalurkan dana sebanyak RM50,000 menggunakan hasil dana wakaf dan bagi pihak korporat dan individu, boleh menyalurkan sumbangan mereka ke Tabung Wira Negara - MAINPP, akaun Bank Islam bernombor 07025010036936,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, MAINPP menerusi Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga memperuntukkan sebanyak RM1 juta bantuan kecemasan kepada anak kariahnya yang terputus bekalan makanan sepanjang tempoh PKP dan boleh merujuk kepada Pegawai Tadbir Agama (PTA) daerah masing-masing.

Katanya, wang bantuan kecemasan sebanyak RM100 bagi setiap keluarga itu akan disalurkan ke dalam akaun bank masjid kariah dan kaedah bantuan adalah sama ada membelikan barangan makanan atau secara tunai diserahkan kepada yang berhak.

“Bagi pakej bantuan khas zakat fasa kedua pula, ZPP akan memberi tumpuan kepada beberapa kumpulan lain dengan jumlah yang sama seperti bantuan khas zakat fasa pertama.

”Golongan yang dimaksudkan adalah seperti guru sekolah agama rakyat, guru tahfiz, pemandu teksi dan pemandu perkhidmatan e-hailing sepenuh masa dan pekerja bergaji harian sepenuh masa yang tidak dapat bekerja ekoran PKP,” katanya lagi

MAINPP juga katanya, sedang mempertimbangkan beberapa cadangan lain bagi membantu kelompok masyarakat yang terjejas dengan PKP ini dan akan memaklumkan perkembangan dari masa ke semasa bagi membantu umat Islam di negeri ini yang terkesan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X