KUALA LUMPUR: Kabinet memutuskan agar dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dipotong dan disalurkan kepada Tabung COVID-19.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet semalam.
“Langkah itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak COVID-19,” kata kenyataan itu.
Tabung COVID-19 dilancarkan pada 11 Mac lalu sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.
Hingga semalam, jumlah sumbangan wang terkumpul termasuk geran kerajaan adalah sebanyak RM8,493,103.48.