Khamis, 26 March 2020 | 11:08am
Stok topeng muka yang dirampas KPDNHEP dalam serbuan di sebuah premis di Kota Damansara untuk dijual pada harga lebih tinggi di pasaran. - Foto KPDNHEP
Stok topeng muka yang dirampas KPDNHEP dalam serbuan di sebuah premis di Kota Damansara untuk dijual pada harga lebih tinggi di pasaran. - Foto KPDNHEP

KPDNHEP serbu premis sorok topeng muka

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 223,000 unit topeng muka tiga lapis bernilai RM446,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata topeng muka berkenaan disorok untuk dijual secara tersembunyi kepada pelanggan dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM3.50 seunit melebihi harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM2 seunit.

“Operasi ini dijalankan hasil daripada maklumat yang diterima daripada orang awam berkaitan penjualan topeng muka yang melebihi harga maksimum kawalan menerusi Facebook Face Mask Wholesale (Malaysia Only) dan Pseud John Elton.

“Suspek menggunakan laman sosial Facebook bagi mengiklan penjualan topeng muka. Kaedah penjualan adalah melalui pesanan aplikasi WhatsApp dan barang yang dibeli akan dihantar melalui pos atau melalui kaedah Cash On Delivery (COD) di kawasan Kota Damansara Petaling Jaya,” kata KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini.

Topeng muka yang dirampas dijual menerusi WhatsApp pada harga RM3.50 seunit berbanding harga maksimum RM2 seunit. - Foto KPDNHEP
Topeng muka yang dirampas dijual menerusi WhatsApp pada harga RM3.50 seunit berbanding harga maksimum RM2 seunit. - Foto KPDNHEP

Iskandar berkata, tindakan suspek menjual topeng muka dengan harga melebihi yang ditetapkan itu boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1,000,000; atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, Iskandar berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 6245.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X