Selasa, 24 March 2020 | 8:42pm
Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar. - Foto BERNAMA
Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar. - Foto BERNAMA

COVID-19: PKP diperluas di perairan Labuan

LABUAN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperluas di perairan Labuan bermula hari ini dengan memastikan hanya sektor perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.

Penguatkuasaan perintah di perairan Labuan itu yang dinamakan Op Inter Agensi COVID-19 dijalankan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan dan Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata peluasan perintah yang berkuat kuasa sehingga 31 Mac itu bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan susulan pemberhentian serta-merta perkhidmatan pengangkutan awam laut ke tanah besar Sabah dan Sarawak.

“Konsep operasi ini adalah bagi mengawal dan memantau pergerakan aset-aset di perairan Labuan (dengan kerjasama ejen perkapalan) selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan, dan yang penting adalah operasi ini akan membantu kepada pematuhan perintah berkenaan di kalangan komuniti maritim,” katanya dalam satu taklimat dan sidang akhbar bersama PPM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan.

Sektor operasi membabitkan beberapa perairan Labuan dan sempadannya iaitu di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, Terminal Feri Menumbok, Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan penempatan sementara Kiamsam.

Kawasan lain yang menjadi tumpuan ialah perairan Kampung Muslim, Kampung Baru dan Saguking, laluan masuk daripada Sipitang, Sabah, Tanjung Aru, Batu Manikar, pulau-pulau berhampiran dan beberapa kawasan pantai.

Nor Bakari mengingatkan komuniti maritim agar tidak menjalankan sebarang aktiviti dan operasi di luar sektor yang disenaraikan dan pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika didapati melanggar perintah berkenaan.

“Susulan pemberhentian perkhidmatan pengangkutan awam laut (feri dan bot laju penumpang) bermula hari ini, pihak kami juga akan memantau semua lorong-lorong tikus dan jeti-jeti haram yang berkemungkinan dijadikan pintu masuk ke Labuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua PPM Labuan, Asisten Superintendan Mohamad Ismail, berkata operasi akan membantu mengehadkan pergerakan komuniti maritim di perairan Labuan dan menguatkuasakan pematuhan perintah berkenaan.

Pengarah MKN Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah, pula berkata operasi itu menunjukkan tidak ada sesiapa terkecuali daripada pematuhan PKP dan meskipun sektor perkapalan serta minyak dan gas dikecualikan, operasi mereka pada skala yang minimum. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X