Selasa, 24 March 2020 | 6:58pm

COVID-19: Institut latihan akan dijadikan pusat kuarantin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan menggunakan institut latihan sebagai ‘wad kuarantin’ jika kes baharu direkod terus meningkat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan siap sedia berdepan kemungkinan penyebaran COVID-19 lebih teruk dengan penyediaan lebih banyak lokasi untuk dijadikan pusat kuarantin.

“Apa yang penting kita sudah siap sedia jika keadaan lebih teruk. (Jadikan) institut latihan sebagai ‘wad’ (untuk kuarantin individu positif COVID-19),” katanya pada sidang medianya di sini, hari ini.

Beliau berkata, petugas kesihatan akan ditugaskan di pusat kuarantin bagi memantau keadaan individu yang dikuarantin.

Setakat ini, kata beliau, 33 hospital termasuk 26 hospital kerajaan menjadi lokasi bagi rawatan dan kuarantin COVID-19.

Mengenai penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah tabligh, Noor Hisham berkata, mereka kini akan diutamakan untuk menjalani saringan kesihatan dan pengambilan sampel bagi menentukan mereka bebas atau positif virus.

Beliau mengakui berlaku silap faham dalam proses saringan sebelum ini dan keutamaan perlu diberi memandangkan 60 peratus kes positif COVID-19 datang daripada kumpulan berkenaan.

“Kita sudah kesan 13,000 jemaah tabligh dan ujian kita sudah buat ke atas 8,000 lebih (jemaah). Hasil ujian, 986 jemaah positif.

“Jemaah tabligh yang ada gejala datang ke depan. Yang tiada juga datang ke klinik kesihatan. Kita akan jalankan saringan dan jika perlu, ujian sampel dibuat.

“Jemaah tabligh berisiko lebih tinggi. Kita letakkan keutamaan ketika ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah
    KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah
    Berita Harian X