Selasa, 24 March 2020 | 2:28pm
KEDUTAAN Besar China di Malaysia dan China Communications Construction Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) menyumbangkan 28,200 pelbagai bekalan perubatan kepada Kementerian Kesihatan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
KEDUTAAN Besar China di Malaysia dan China Communications Construction Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) menyumbangkan 28,200 pelbagai bekalan perubatan kepada Kementerian Kesihatan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

COVID-19: Kedutaan China serah sumbangan ubat

SHAH ALAM: Kedutaan Besar China di Malaysia dan China Communications Construction Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) menyumbangkan 28,200 pelbagai bekalan perubatan kepada Kementerian Kesihatan.

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian, berkata sumbangan itu bagi membantu Malaysia dalam usaha memerangi dan sebagai perlindungan kepada barisan hadapan yang sangat terdedah kepada wabak COVID-19.

“Saya mewakili China dan CCC-ECRL berbesar hati menyumbang sebanyak 3,000 penutup hidung dan mulut jenis N95, 2,000 penutup hidung dan mulut KN90, 20,000 topeng muka pembedahan dan 1,200 kaca mata perubatan manakala sejumlah 2,000 kit ujian sedang dalam proses penghantaran dalam masa terdekat.

“Kit pengesan RT-PCR ini, dibangun dan dihasilkan oleh Shenzhen’s BGI Genomics dan diguna pakai secara meluas oleh barisan hadapan China dalam memerangi situasi epidemik, baru-baru ini.

“Sumbangan bekalan perubatan ini lebih kepada barisan hadapan terutamanya kakitangan perubatan yang sangat memerlukan kerana mereka berhadapan dengan pesakit sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan sumbangan kepada Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min mewakili KKM di Pharmaniaga Berhad, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan CCC-ECRL Bai Yinzhan dan Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran.

Tian berkata, pasukan barisan hadapan yang berjuang tulang belakang kepada negara dalam usaha mengekang penularan wabak itu, jadi mereka perlu sentiasa dilindungi dan diberi sokongan.

“Saya lihat satu video, kakitangan perbuatan Malaysia menggunakan beg plastik kerana kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE), begitu di China, kita juga mengalami kekurangan bekalan sebab serangan COVID-19 cepat dan secara tiba-tiba.

“Tiada negara mempunyai PPE secukupnya kerana permintaan meningkat secara tiba-tiba dalam jumlah yang sangat besar.

“Kami sudah melalui pengalaman buruk ketika COVID-19 menyerang, semua mengenakan PPE tidak akan makan minum dua jam sebelum masuk ke Zon Merah, malah ada memakai lampin pakai buang dewasa kerana tidak mahu membazirkan setiap PPE yang sangat berharga.

“Kami berusaha sehabis baik bagi memastikan bekalan itu mencukupi, sebab itu perkara sama kami cuba untuk membantu Malaysia dalam keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan itu juga mendapat sokongan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina di Malaysia dalam usaha menderma bekalan.

“Pihak kedutaan sudah berhubung dengan pelbagai pihak dan dalam masa beberapa hari lagi, kita akan melihat lebih banyak bantuan yang bakal sampai,” katanya.

Dalam pada itu, Yinzhan berkata CCC-ECRL mengambil pelbagai langkah pencegahan dan berjaga-jaga dalam memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja dan tapak pembinaan serta mendapatkan bekalan perubatan segera.

“Ini bagi memberikan sokongan padu kepada kerajaan Malaysia dalam usaha pencegahan dan kawalan penularan wabak,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X