Isnin, 23 March 2020 | 6:26pm

COVID-19: GLC, GLIC kumpul dana RM40 juta bantu Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR: Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau GDRN mengumpul dana berjumlah RM40 juta setakat ini bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani wabak COVID-19.

Dana itu dikumpul hasil sumbangan daripada GLC, GLIC dan syarikat swasta.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari, berkata daripada jumlah itu RM17 juta akan diperuntukkan khusus untuk pembelian bekalan perubatan termasuk alat pelindung diri (PPE) dan ventilator bagi memenuhi keperluan KKM serta hospital awam dan institusi.

Katanya, penyelarasan dan pelaksanaan pemerolehan, pengendalian, pergudangan dan pengedaran akan dilakukan melalui PharmaNiaga Bhd.

"Kami benar-benar merasakan bahawa bantuan sokongan ini harus diselaraskan dengan lebih baik untuk mengelakkan pertindihan usaha dan lebihan bekalan. Kami berharap platform ini akan membolehkan pendekatan yang lebih selaras untuk membantu KKM dan negara dalam masa yang sukar ini.

“Pada masa ini, Yayasan Hasanah menyelaraskan usaha dengan GLC dan GLIC di bawah sepanduk GDRN dan mengalu-alukan semua sektor swasta untuk memperluaskan sokongan mereka ke arah usaha bersama ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Shahira berkata, terdapat beberapa ahli GDRN sebelum ini terlebih dahulu telah melaksanakan bantuan sokongan berjumlah RM23 juta termasuk pengedaran bekalan makanan, kit kebersihan dan peralatan perubatan kepada hospital-hospital termasuk Pusat Kesihatan Daerah; universiti yang masih menempatkan pelajarnya di kampus dan Pusat Pengawasan yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Katanya, komitmen GDRN untuk menyokong perjuangan melawan COVID-19 akan diteruskan biarpun selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir kerana ia merancang untuk membantu masyarakat bawahan dan B40 yang terjejas dengan COVID-19 untuk jangka panjang.

“Ini selaras dengan tujuan penubuhan GDRN, iaitu untuk memastikan tindak balas holistik dalam jangka pendek, sederhana dan jangka panjang pada masa bencana seperti yang dapat disaksikan daripada sokongannya di seluruh negara di antara tahun 2013 hingga 2019,” katanya.

Kepada pihak individu atau organisasi yang berminat untuk menyumbang menerusi GDRN dan Yayasan Hasanah boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian +6019-2782707 atau emel anita.ahmad@hasanah.org.my.

GDRN diuruskan oleh Sekretariat Bersama yang diterajui oleh Yayasan Hasanah, yayasan di bawah Khazanah Nasional Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.

Ia ditubuhkan pada tahun 2013 melalui Jawatankuasa Putrajaya untuk Prestasi Tinggi GLC dengan Khazanah Nasional sebagai Sekretariatnya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X