Isnin, 23 March 2020 | 10:57am

COVID-19: Tiada topeng muka tak boleh naik feri

ALOR SETAR: Bermula hari ini, Jabatan Laut mewajibkan semua penumpang feri antara Langkawi-Kuala Kedah dan Langkawi-Kuala Perlis memakai topeng muka.

Pegawai Laut Langkawi, Ghadzali Ahmad, berkata penumpang yang gagal mematuhi arahan itu tidak akan dibenarkan menaiki feri.

Katanya, arahan itu bertujuan melindungi penumpang dan kru feri daripada terdedah dengan wabak COVID-19 yang sedang melanda negara.

“Persekitaran pengudaraan yang terhad dalam feri serta ruang yang sempit akan menyebabkan penumpang dan kru feri lebih berisiko berbanding berada di tempat terbuka.

“Jabatan menampal notis berkaitan di kaunter menjual tiket feri agar penumpang dapat menyediakan topeng muka sebelum menaiki feri. Berdasarkan pemerhatian jabatan sebelum ini, masih ada penumpang yang tidak memakai penutup hidung dan mulut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ghadzali berkata, dalam situasi sekarang, pihaknya akan membantu kerajaan dalam usaha mendidik masyarakat menjaga kesihatan diri dan memutuskan rantaian wabak.

Katanya, arahan ini juga akan memberi keyakinan kepada semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri ketika ini.

Semalam konsortium Ferry Line Ventures mengumumkan perkhidmatan feri ulang alik menghubungkan Langkawi-Kuala Kedah dan Langkawi-Kuala Perlis dihadkan kepada satu perjalanan sehari bermula hari ini hingga 31 Mac.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X