Isnin, 23 March 2020 | 9:12am
ANGGOTA polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di Pekan Salak Selatan. - Foto Saifullizan Tamadi
ANGGOTA polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di Pekan Salak Selatan. - Foto Saifullizan Tamadi

COVID-19: 3 juta masih ingkar perintah - ATM

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyifatkan bilangan 10 peratus rakyat yang masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai perkara serius yang perlu ditangani segera.

ATM dalam kenyataannya berkata, ia kerana peratusan yang mewakili tiga juta daripada keseluruhan rakyat Malaysia itu disifatkan sebagai jumlah yang besar dan perlu ditangani segera bagi membendung COVID-19.

Justeru, katanya, ATM akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memupuk disiplin dalam kalangan rakyat untuk mematuhi perintah dan arahan sah dikeluarkan pihak berkuasa.

“ATM juga bersetuju supaya lebih tumpuan penguatkuasaan perintah ini diberi kepada kawasan berisiko tinggi seperti pasar dan pasar raya di mana orang ramai sehingga kini didapati didapati masih bersesak dan tidak mengamalkan jarak sosial.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita tular terutama membabitkan maklumat, gambar, video atau rakaman suara menunjukkan atur gerak ATM pada skala besar, mahu pun perlakuan tidak munasabah bakal diambil anggota tentera.

“Ini kerana, ia boleh mencetuskan kebimbangan serta panik, sekali gus menunjukkan kaedah tidak benar dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor menyifatkan hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan adalah lebih berbanding peringkat awal pelaksanaannya dengan kadar pematuhan perintah itu mencecah 90 peratus.

Berdasarkan kenyataan sama, keputusan membabitkan ATM bagi membantu PDRM adalah wajar bagi memastikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dapat dilaksana dan dikuatkuasakan sebaik mungkin.

Justeru, katanya, peranan ATM yang bermula semalam adalah membantu PDRM membuat rondaan, sekatan jalan raya, mengaawal hospital dan sempadan, kawasan luar bandar serta berisiko tinggi.

“Keseluruhannya, seramai 7,500 anggota ATM ditugaskan untuk membantu PDRM. Anggota ATM daripada ketiga-tiga perkhidmatan ditugaskan di 405 lokasi sekatan jalan raya dan 272 lokasi adalah rondaan MPV di seluruh negara, setiap hari,” katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X