Isnin, 23 March 2020 | 8:53am
PANDANGAN udara Masjid Sri Petaling. - Foto BERNAMA
PANDANGAN udara Masjid Sri Petaling. - Foto BERNAMA

COVID-19: 82 kes positif di Sabah babitkan jemaah tabligh

KOTA KINABALU: Sebanyak 82 kes positif Covid-19 di negeri ini membabitkan jemaah tabligh yang sertai Perhimpunan Ijtimak di Masjid Sri Petaling.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi, menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 158 kes positif dilaporkan di seluruh negeri setakat ini.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan itu turut merangkumi 71 kes kontak rapat jemaah tabligh.

“Siasatan, kawalan dan pencegahan masih giat dilaksanakan supaya wabak ini tidak terus menular.

“Selain itu, kita juga masih giat mencari baki jemaah tabligh yang masih belum membuat saringan kesihatan COVID-19 dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Christina turut menafikan mesej tular berkaitan terdapat isteri jemaah tabligh positif wabak terbabit, membawa anak yang batuk ke salah sebuah Poliklinik di Penampang.

Beliau berkata mesej itu adalah tidak benar dan meminta orang awam tidak mempercayai sebarang mesej tular tanpa disahkan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KKKR) Sabah.

Dalam pada itu, Christina menyatakan setakat ini hanya seorang pesakit Covid-19 dibenarkan pulang dan dimasukkan ke pusat kuarantin selepas dua sampel orofarinks disahkan negatif.

Bagaimanapun, katanya, pesakit berkenaan meneruskan kuarantin sehingga 31 Mac ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X