Ahad, 22 March 2020 | 4:41pm
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar. - Foto NSTP
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar. - Foto NSTP

Rakyat Malaysia dari Iran dan India selamat tiba di tanah air

KUALA LUMPUR: Seramai 418 rakyat Malaysia yang terkandas di Iran dan India berikutan wabak coronavirus (COVID-19) berjaya dibawa pulang ke tanah air melalui misi repatriasi, pagi tadi.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata daripada keseluruhan jumlah itu, 46 rakyat Malaysia dan tanggungan mereka dari Iran tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada jam 6.33 pagi tadi.

“Selain 46 rakyat Malaysia, kita juga membawa pulang lapan warga Singapura dan seorang warga Indonesia menjadikan keseluruhannya 55 dibawa balik dari Iran.

“Mereka akan menjalani kuarantin selama 14 hari di Institut Latihan Awam yang sudah ditetapkan,” katanya melalui kenyataan media, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju membawa pulang 46 rakyat Malaysia, lapan warga Singapura dan seorang warga Indonesia yang terkandas di Iran sebagai meraikan semangat ASEAN.

Persetujuan itu dicapai menerusi persidangan video antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakan sejawatan beliau dari Indonesia, Retno Marsudi dan Singapura, Vivian Balakrishnan.

Pada masa sama, Kamarudin berkata, seramai 372 rakyat Malaysia dari Chennai dan Tiruchirappalli (Trichy), India juga selamat tiba di tanah air, hari ini dengan dua buah pesawat Air Asia yang disewa khas dengan dibiayai sepenuhnya oleh Malaysian Indian Congress (MIC).

Katanya, pesawat daripada Chennai yang membawa 186 orang penumpang selamat tiba di KLIA 2 pada jam 4.10 pagi manakala satu lagi pesawat daripada Trichy yang juga membawa 186 orang penumpang tiba di KLIA 2 pada jam 6.48 pagi.

“Semua rakyat Malaysia terbabit sedang menjalani proses kuarantin secara sukarela selama 14 hari seperti ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, ” katanya.

Beliau berkata, empat buah pesawat Air Asia dan dua buah pesawat Malaysia Airlines (MAS) masih lagi menunggu kelulusan pendaratan dari kerajaan India bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di sana.

Katanya, Kementerian Luar Negeri akan terus berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kelulusan pendaratan bagi membolehkan mereka dibawa pulang dengan kadar segera.

“Sehingga jam12.00 tengah hari tadi, seramai 1,323 orang rakyat Malaysia masih lagi terkandas di India.

“Kementerian juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan India di atas bantuan dan kerjasama yang diberikan bagi membolehkan rakyat Malaysia kembali ke tanah air, ” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X