Ahad, 22 March 2020 | 3:38pm

COVID-19: Soalan Lazim berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Kementerian Dalam Negeri – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

S: Bagaimana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menghadapi dan menangani penularan wabak COVID -19?

J: JPN melaksanakan tindakan pencegahan seperti:

a. Menyediakan petugas untuk memeriksa suhu badan kakitangan dan pelanggan

b. Menyediakan cecair sanitasi di pintu-pintu masuk Jabatan dan kaunter-kaunter urus niaga

c. Meningkatkan tahap kebersihan premis

d. Mewajibkan para petugas di kaunter memakai penutup mulut dan sarung tangan getah

S: Berapakah bilangan pejabat JPN yang dibuka sepanjang tempoh pelaksanaan PKP?

J: Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, JPN membuka 29 pejabat JPN di seluruh negara.

S: Bilakah waktu operasi kaunter JPN?

J: Waktu operasi kaunter JPN bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.

S: Bagaimana pula status operasi kaunter JPN di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara?

J: Kerajaan memutuskan operasi semua UTC ditutup kepada umum bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Penguatkuasaan ini berdasarkan surat arahan daripada Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 17 Mac 2020.

S: Apakah jenis urusniaga dan perkhidmatan kaunter JPN yang dibuka?

J: Hanya satu urusniaga dibenarkan iaitu Permohonan Kad Pengenalan rosak dan hilang sahaja. Permohonan Kad Pengenalan kali pertama (12 Tahun) boleh ditangguhkan dahulu sehingga tempoh PKP berakhir. JPN menasihatkan orang ramai menangguhkan urusan di JPN kecuali bagi urusan terdesak dan kecemasan seperti urusan perbankan, pekerjaan, perkhidmatan kesihatan dan yang berkaitan dengan agensi penguatkuasa sahaja.

S: Bagaimana urusan di bahagian urus niaga utama yang lain?

J: Sepanjang tempoh perintah kawalan ini semua urus niaga kaunter Bahagian Kewarganegaraan (BWN), Bahagian Perkahwinan dan Penceraian (BKC) dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) ditangguhkan. Bagi urusan semakan atau pertanyaan boleh menghubungi talian 03 8880 8134 untuk urusan perkahwinan dan penceraian manakala urusan siasatan dan penguatkuasaan di talian 03 8880 7700 dan bagi urusan semakan permohonan status kewarganegaraan di talian 03 8880 8171.

S: Adakah urusan daftar lewat kad pengenalan dan daftar lewat kelahiran masih diteruskan?

J: Semua urusan daftar lewat kad pengenalan dan daftar lewat kelahiran ditangguhkan sepanjang tempoh PKP.

S: Adakah kutipan kad pengenalan (MyKAD, MyPR dan MyKAS) boleh dibuat?

J: Pelanggan diminta hadir membuat kutipan kad pengenalan selepas tempoh PKP sekiranya tiada keperluan mendesak seperti urusan perbankan, pekerjaan, perkhidmatan kesihatan dan yang berkaitan dengan agensi penguatkuasaan. Bagi tempoh ini, slip kad pengenalan sementara boleh digunakan sebagai pengenalan diri.

S: Urusan Permohonan MyPR dan MyKAS masih boleh dibuat?

J: Tiada urusan permohonan MyPR dan MyKAS semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X