Ahad, 22 March 2020 | 1:41pm
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

COVID-19: MAIPs umum garis panduan urus jenazah

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengumumkan panduan pengurusan jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam di Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah panduan pengurusan jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam dibuat berdasarkan panduan dan irshad Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Menurut titah perutusan baginda yang disiarkan pihak MAIPs, tajhiz janaiz (pengurusan jenazah) bagi memandikan dan mengkafankan hendaklah diuruskan di hospital atau di mana-mana premis yang dibenarkan oleh pihak berkuasa dengan nasihat dan panduan keselamatan daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengurusan hendaklah dilaksanakan dengan pengecualian dan kelonggaran (rukhsah) kerana terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskannya.

Dalam hal ini, dibolehkan jenazah diuruskan melalui proses paling ringan risiko dan bahayanya dengan melaksanakan tayammum pada bahagian muka dan pergelangan tangan di beg jenazah atau pembalut plastik yang membaluti jenazah.

Proses kafan memadai dengan balutan kain yang dilaksanakan oleh petugas KKM pada jenazah berkenaan.

Solat jenazah hendaklah ditunaikan dengan kehadiran imam dan beberapa ahli keluarga terdekat sahaja sebagai memenuhi kewajipan fardu kifayah. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X