Sabtu, 21 March 2020 | 6:29pm
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan di jalan tikus yang menjadi laluan kemasukan warga asing Indonesia di Serikin,Bau,hari ini. - NSTP/Norsyazwani Nasri
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan di jalan tikus yang menjadi laluan kemasukan warga asing Indonesia di Serikin,Bau,hari ini. - NSTP/Norsyazwani Nasri

COVID-19: Tiada pembolosan PATI di sempadan Sarawak susulan PKP

BAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) mempertingkatkan kawalan di sempadan seluruh negeri bagi mengelak ia dibolosi warga asing, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Rabu lalu.

Pegawai Memerintah Batalion 11 PGA, Superintendan Rosdi Inai, berkata ini termasuk pemantauan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke atas laluan tikus yang dikenal pasti sering dijadikan sasaran pergerakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Di pihak berkuasa Indonesia, mereka mematuhi larangan kemasukan warganya ke negeri seperti yang dipersetujui melalui perbincangan kedua-dua pihak.

“Bagaimanapun, kita sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku melalui kawalan di sempadan dua negara ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pasar Serikin, di sini, hari ini.

Rosdi berkata, pihaknya tidak menafikan jenayah rentas sempadan masih berlaku, namun dengan penugasan dan keanggotaan ia diyakini dapat dikurangkan.

“Seramai tiga hingga lima anggota PGA ditempatkan di setiap laluan tikus. Selain Serikin, kita menjalankan pengawasan sempadan di Tebedu, Telok Melano dan Bunan Gega,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan PKP, beliau berkata masyarakat tempatan di Bau mematuhi arahan yang dikeluarkan sehingga 31 Mac ini untuk mengekang penularan COVID-19.

“Mereka berada dalam rumah dan tidak berlaku transaksi jual beli antara Sarawak dan Indonesia di Pasar Serikin. Pasar ini yang dikunjungi lebih 1, 000 orang pada hujung minggu juga sunyi dan lengang,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X