Sabtu, 21 March 2020 | 5:41pm

COVID-19: Dua lagi kematian di Sarawak, jumlah terkini enam

KUCHING: Sarawak merekodkan dua lagi kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah mangsa terkorban akibat wabak itu di negeri ini seramai tiga orang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata dua mangsa adalah ibu dan anak perempuan masing-masing berusia 79 dan 40 tahun.

Beliau berkata, mangsa berusia 79 tahun meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta pada jam 2 pagi, 18 Mac lalu manakala anaknya meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 1 tengah hari tadi.

“Laporan kes kematian yang pertama akibat COVID-19 membabitkan keluarga ini lambat diterima dari hospital swasta yang merawatnya kerana menunggu keputusan ujian yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur.

“Ketika ini, seorang lagi ahli keluarga ini masih dirawat di Hospital Umum Sarawak dan memerlukan bantuan pernafasan mekanikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, dua mangsa yang maut itu dipercayai dari kluster jemaah tabligh yang menghadiri program ijtimak di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Sementara itu, beliau berkata 10 lagi kes positif COVID-19 direkodkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan dijangkiti wabak itu kepada 68 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

“Dua kes baharu itu dirawat di Hospital Umum Sarawak, lima kes di Hospital Sibu, dua di Hospital Bintulu manakala seorang telah meninggal dunia di Kuching semasa keputusan ujian pengesahan diperolehi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media petang tadi menjelaskan satu lagi kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan sejak malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat penularan wabak itu sebanyak empat kes.

Beliau berkata kematian keempat itu membabitkan kes ke-238, lelaki warga Malaysia berusia 50 tahun daripada kluster jemaah tabligh.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X