Sabtu, 21 March 2020 | 3:49pm
Prof Dr Sazaly Abu Bakar - NSTP/AMIRUDIN SAHIB
Prof Dr Sazaly Abu Bakar - NSTP/AMIRUDIN SAHIB

COVID-19: 'Beli ubat, bukan bergantung kepada ventilator'

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mengutamakan usaha membawa masuk dua ubat bagi merawat COVID-19 yang dijual di pasaran, berbanding menambah jumlah ventilator atau alat bantuan pernafasan di hospital.

Pembelian ventilator untuk pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini tidak sepatutnya dijadikan keutamaan oleh kerajaan.

Mengutarakan pandangan sedemikian, pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata pengiraan berdasarkan statistik semasa bakal menyaksikan jumlah pesakit di ICU meningkat kepada hampir 2,000 orang, dengan sebahagian besarnya dikaitkan dengan kluster jemaah tabligh.

Sehubungan itu, katanya, setiap pesakit akan terpaksa bergantung kepada satu mesin ventilator untuk tempoh lama, selain memerlukan pasukan perubatan bagi memantau kadar pemulihannya.

“Situasi semasa bukan berkisar hanya kepada berapa banyak ventilator yang kita ada sebab Malaysia sudah melepasi tahap melakukan pengasingan dan kuarantin.

“Penularan wabak COVID-19 sudah seakan berada di luar kawalan, justeru ia memerlukan pendekatan yang lebih drastik, berbanding mekanisme pemulihan bersandarkan penggunaan ventilator sementara pesakit berupaya mengurangkan kiraan virus dalam badan.

“Kita perlu ingat petugas Kementerian Kesihatan khususnya pengamal perubatan sudah berada di ambang risiko bekerja lebih masa, sekali gus mendedahkan mereka kepada jangkitan virus kerana ketahanan badan yang semakin menyusut.

“Jadi, pendekatan menambah jumlah ventilator dan mengerah kudrat pengamal perubatan tidak lagi berkesan bersandarkan kadar penularan COVID-19,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pada 16 Mac lalu dilaporkan berkata kerajaan sudah menempah 800 lagi ventilator yang bakal dibawa masuk ke Malaysia bagi menampung keperluan di ICU seluruh negara.

Mengikut perangkaan semasa, sebanyak 926 unit ventilator jenis ‘non invasive’ ditempatkan di wad ICU hospital di seluruh negara untuk kegunaan pesakit COVID-19, selain 142 unit ventilator yang boleh dibawa ke mana-mana.

Mengemukakan pendekatan berbeza, Dr Sazaly berkata, kerajaan sewajarnya membeli dua ubat yang digunakan Amerika Syarikat (AS) dan laris dijual di pasaran ketika ini.

Bersandarkan laporan perubatan dan hasil kadar pemulihan, katanya, ubat ‘chloroquine’ dan ‘hydroxychloroquine’ berupaya menurunkan jumlah kiraan virus dalam badan pesakit.

“NPRA (Bahagian Kawalan Farmasi Negara) sepatutnya mengurangkan kerenah birokrasi dan kekangan yang lazimnya menghalang pengimportan ubat baharu di pasaran untuk kegunaan pesakit.

“Ini bukan masanya untuk kita berlengah dan meletakkan sandaran kepada pendekatan biasa kerana situasi sudah semakin menjadi di luar kawalan,” katanya.

Mengikut teori epidemiologi, Dr Sazaly berkata, langkah menangani penularan wabak sebenarnya bersandarkan dua teras utama, iaitu pendidikan dan komunikasi dalam kalangan masyarakat secara berkesan.

Bagaimanapun, beliau menzahirkan kekesalan terhadap sikap rakyat Malaysia yang masih memandang remeh risiko COVID-19 apabila kepentingan penjarakan sosial dan keperluan menjaga kebersihan diri terus dipandang enteng.

“Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilanjutkan sehingga lapan minggu, berbanding dua minggu ketika ini, untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19.

“Kementerian Kesihatan juga harus terbuka dengan menerima pakai penggunaa teknologi supaya usaha menangani penularan wabak ini dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Jalinkan kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kerana mereka mempunyai golongan pakar yang berkaitan, usah terus berfikiran kolot,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X