Jumaat, 20 March 2020 | 7:12pm

Syarikat dibenar beroperasi wajib sedia surat perjalanan - MITI

KUALA LUMPUR: Syarikat yang mendapat kelulusan untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajib memberi surat kebenaran perjalanan kepada pekerja yang bertugas.

Ia juga perlu melampirkan bersama surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI berkata, syarikat perlu juga menyenaraikan nama pekerja yang dikenalpasti membawa surat kebenaran perjalanan itu untuk pergerakan mereka dari kediaman ke kilang atau premis masing-masing.

“Jumlah surat kebenaran itu hanya boleh dikeluarkan oleh pihak syarikat kepada pekerja mereka saja mengikut bilangan pekerja yang telah diluluskan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Walau bagaimanapun, kelulusan yang diberikan boleh dibatalkan dan ditarik balik sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi oleh syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kebenaran bekerja itu juga, kata MITI terhad kepada jumlah pekerja yang diluluskan kepada syarikat untuk beroperasi, dan kebenaran untuk meletakkan mesin kilang dalam keadaan siap siaga.

MITI mengambil langkah proaktif memberikan kebenaran untuk beroperasi dan bekerja bagi industri yang diluluskan bawah tanggungjawabnya.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP pagi ini menekankan perlunya majikan menyediakan surat kebenaran kepada pekerja bagi memudahkan pergerakan.

Langkah itu bagi memastikan adanya penguatkuasaan yang lebih ketat ke atas pekerja industri yang diarahkan bertugas.

“Sehubungan itu, mesyuarat telah memutuskan kebenaran untuk pergerakan pekerja bagi pihak industri yang diluluskan dipertanggungjawabkan kepada MITI.

“Kelulusan itu juga terhad kepada syarikat di dalam sektor pembuatan produk penting yang telah mendapat kelulusan untuk meneruskan operasi pada kadar minima,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X