Jumaat, 20 March 2020 | 6:16pm
12 kes COVID-19 pulih dan dibenarkan keluar hospital, hari ini.- Foto hiasan BERNAMA
12 kes COVID-19 pulih dan dibenarkan keluar hospital, hari ini.- Foto hiasan BERNAMA

COVID-19: 12 pesakit pulih hari ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 12 kes COVID-19 pulih dan dibenarkan keluar hospital, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia menjadikan bilangan pesakit pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 dalah sebanyak 87 kes.

Bagaimanapun, katanya, sebanyak 130 kes baharu dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 1,030.

"Berdasarkan siasatan awal, 48 daripada 130 kes baharu dilaporkan hari ini, berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

"Sehingga kini, seramai 26 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai untuk kekal aktif, sama ada melalui senaman atau aktiviti fizikal, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hingga 31 Mac ini.

Katanya, pelbagai senaman boleh dilakukan di rumah, antaranya berbentuk kardio bagi yang mempunyai basikal senaman atau ‘treadmill’ (sawat injak).

“Senaman menggunakan berat badan sendiri, seperti ‘push-ups’, ‘squats’, ‘planks’, ‘burpees’ dan ‘lounges’ (menggunakan pelbagai otot tanpa memerlukan peralatan khusus); tabata serta senaman ringan seperti yoga atau tai chi juga boleh dilakukan.

“Rakyat juga boleh kekal aktif dengan melakukan pelbagai bentuk tarian dan mengambil peluang untuk melakukan spring cleaning di dalam rumah.

“Kajian menunjukkan senaman dan aktiviti fizikal penting bagi mengekalkan kesihatan mental dengan meningkatkan mood dan melegakan kebimbangan dan keresahan. Ia membantu mengasah minda, meningkatkan kekuatan otot dan kekuatan aerobik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai diminta menghubungi ‘virtual health advisory’ jika tidak sihat, selain mengikuti sesi Webinar menerusi pautan http://www.doctoroncall.com.my/coronavirus, pada jam 9 pagi setiap hari.

“Orang awam juga boleh menghubungi talian Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC). Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC di https://t.me/cprckkm.

“Kita akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.

Berita Harian X