Jumaat, 20 March 2020 | 12:34pm
ANGGOTA keselamatan TNB menjalankan tugas rondaan sekitar Pencawang Masuk Utama (PMU) Subang Jaya Town Centre (SJTC). - Foto TNB
ANGGOTA keselamatan TNB menjalankan tugas rondaan sekitar Pencawang Masuk Utama (PMU) Subang Jaya Town Centre (SJTC). - Foto TNB

COVID-19: TNB jamin operasi lancar semasa Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) terus memberikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, dengan memastikan penjanaan tenaga oleh stesen-stesen janakuasanya beroperasi dengan lancar.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, berkata selain penjanaan, warga kerja teknikal TNB yang terbabit secara langsung dalam klasifikasi perkhidmatan kritikal juga bekerja bagi memastikan semua pengguna mendapat perkhidmatan dan bekalan elektrik yang berterusan serta stabil.

“Mereka termasuklah anggota kerja teknikal di bahagian grid serta pembahagian elektrik, kerja-kerja penyambungan dan pemulihan bekalan.

“Operasi kritikal lain yang turut beroperasi adalah perkhidmatan pelanggan TNB CareLine, kawalan keselamatan dan fasiliti janakuasa bergerak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan bahawa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, aktiviti pemotongan bekalan ditangguhkan.

Manakala, pembacaan meter TNB dan operasi Kedai Tenaga di seluruh negara juga dihentikan untuk menjaga kepentingan orang awam dan warga kerja TNB terbabit.

Untuk sebarang urusan transaksi, pengguna dinasihatkan menggunakan kemudahan transaksi dalam talian, antaranya menerusi portal dan applikasi myTNB.Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454, Facebook TNB CareLine.

Layanan dan tindakan sewajarnya akan diambil TNB.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X