Jumaat, 20 March 2020 | 11:15am
LOGO Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020)
LOGO Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020)

COVID-19: MyCEB minta logo VM2020 tidak lagi digunakan

KUALA LUMPUR: Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) meminta semua rakan industrinya supaya tidak menggunakan lagi logo Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) dalam bahan pemasaran dan promosi.

Sebaliknya, ia digantikan dengan logo Malaysia Truly Asia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Khani, berkata langkah itu adalah susulan pembatalan kempen VM2020 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini.

“MyCEB ingin memaklumkan kepada semua rakan industri supaya melihat semula kempen pemasaran mereka dan mengeluarkan secara beransur-ansur logo VM2020 di dalam bahan pemasaran dan promosi mereka.

“Logo VM2020 itu boleh digantikan dengan logo Malaysia Truly Asia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nancy sebelum ini mengumumkan kerajaan membatalkan kempen VM2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya juga membeku semua urusan kaunter dan perkhidmatan atas talian bagi permohonan baru, pembaharuan lesen pengendalian pelancongan, pemandu pelancong, institut latihan pelancongan dan pendaftaran penarafan premis penginapan pelancongan, spa dan pusat urutan kaki (PUK) sehingga 31 Mac ini.

“Oleh itu, saya ingin memaklumkan bahawa kempen VM2020 dibatalkan berkuat kuasa serta-merta sejajar dengan impak penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan serta menjejaskan sektor pelancongan di Malaysia dan dunia secara amnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Khani berkata, MyCEB juga ingin menggalakkan semua rakan industri supaya mengambil manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang ditawarkan kerajaan kepada industri mereka ketika ini.

“Marilah kita sama-sama berdoa supaya situasi COVID-19 ini akan pulih tidak lama lama lagi, dan pada masa sama, saya ingin menggesa semua rakan industri supaya mematuhi garis panduan dan prosedur yang ditetapkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Kesihatan dalam membendung wabak ini daripada terus tersebar.

“Kita seharusnya kekal utuh dan mula melihat kembali strategi seterusnya dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan pilihan sebaik industry kembali memulih,” katanya.

Berita Harian X