Khamis, 19 March 2020 | 7:35pm
Hampir semua penerbangan keluar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibatalkan hari ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan.- Foto BERNAMA
Hampir semua penerbangan keluar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibatalkan hari ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan.- Foto BERNAMA

COVID-19: 1,075 warganegara Malaysia masih terkandas di India

PUTRAJAYA: Seramai 138 rakyat Malaysia di India pulang ke tanah air semalam, susulan penularan COVID-19.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata seramai 1,075 lagi warganegara Malaysia terkandas di India.

Katanya, semua rakyat Malaysia itu dibenarkan pulang, hasil usahasama Kerajaan Malaysia dan Kerajaan India yang membantu urusan berkenaan.

Menurut beliau, kerjasama itu juga membolehkan seramai 405 rakyat India pulang ke negara mereka.

“Kerajaan amat prihatin dan sentiasa memantau secara rapat perkembangan ini melalui perwakilan Malaysia di India bagi memastikan semua yang terkandas dapat pulang ke negara ini dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar berkata,

seramai 111 rakyat Malaysia dari New Delhi dibawa pulang dengan penerbangan Air Asia, manakala 27 orang lagi juga dari New Delhi, pulang dengan penerbangan komersial lain.

Kamarudin berkata, seramai 405 rakyat India di Malaysia pulang dengan dua penerbangan Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi, New Delhi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Visakhapatnam, Vizag, India.

Katanya, daripada 1,075 warga Malaysia yang terkandas ialah seramai 450 orang di Chennai; Trichy (430); New Delhi (97); Bengaluru (63); Mumbai (24) dan Cochin (11).

“Kementerian Luar sedang berusaha dan bekerjasama dengan agensi berkaitan serta syarikat penerbangan bagi menyelaraskan urusan pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas di India.

“Ini termasuk perancangan untuk menghantar pesawat sewaan khas ke Chennai dan Trichy bagi membawa rakyat Malaysia yang sedia ada memegang tiket penerbangan pulang Air Asia ke Malaysia,” katanya.

Semua warganegara Malaysia yang terjejas di India boleh menghubungi Perwakilan Malaysia yang terdekat bagi mendapatkan bantuan konsulat.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X