Khamis, 19 March 2020 | 4:24pm

COVID-19: 110 kes baharu, jumlah kumulatif 900

PUTRAJAYA: Sebanyak 110 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata daripada 110 kes baharu itu, sebanyak 63 kes daripada kluster tabligh.

Katanya, seramai 15 individu sudah dibenarkan pulang hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif kes sudah pulih sepenuhnya dari COVID-19 sebanyak 75 kes.

“Sehingga kini seramai 20 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mereka kini memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata Selangor menjadi negeri tertinggi jumlah pesakit COVID-19 iaitu sebanyak 223 kes dilaporkan.

“Ia diikuti Kuala Lumpur sebanyak 123 kes, Sabah (112), Johor (101), Negeri Sembilan (56), Sarawak (51) dan Kelantan (44).

“Bagi Kedah pula, sebanyak 40 kes dilaporkan diikuti Perak 35 kes, Pulau Pinang dan Pahang masing-masing 32 kes.

“Manakala empat negeri di bawah paras 20 kes iaitu Terengganu 11 kes, Perlis (sembilan), Putrajaya (enam) dan Labuan (lima),” katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
    Berita Harian X