Rabu, 18 March 2020 | 7:24pm
TAHUN Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).
TAHUN Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

COVID-19: Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dibatalkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan mengumumkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) dibatalkan, susulan penularan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pembatalan itu dibuat bagi memberi keutamaan supaya kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan negara serta rakyat terpelihara.

Katanya, semua penggiat industri pelancongan dan kebudayaan diseru mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, peraturan dan arahan yang sedang berkuat kuasa ketika ini. Kita sedar situasi ini memberi impak besar kepada banyak pihak, termasuk pelancong asing yang berada di Malaysia sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

"Premis penginapan pelancongan di seluruh negara diminta mematuhi peraturan terbaharu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya ketika berucap menerusi rakaman video, di sini, hari ini.

Mengenai peraturan baharu MKN bagi premis penginapan pelancongan, Nancy berkata, ia dibenarkan beroperasi dengan jumlah kakitangan minimum, tertakluk kepada pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Tetamu dikehendaki berada di dalam bilik penginapan sepanjang masa dengan tempahan makanan dibuat secara perkhidmatan bilik manakala, operasi fasiliti sampingan, termasuk kolam renang, ruang permainan dan gimnasium tidak dibenarkan beroperasi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua urusan pembaharuan lesen pengendalian dan penarafan premis pelancongan, pemandu pelancong serta institut latihan dibekukan hingga 31 Mac ini.

"Semua pihak diminta tidak terpengaruh dengan berita dan fakta palsu, terutamanya di media sosial. Sebaliknya perlu merujuk kepada sumber rasmi jabatan kerajaan diselaraskan MKN bagi maklumat sahih.

"Penggiat industri pelancongan, kebudayaan dan orang awam boleh merujuk laman web rasmi www.motac.gov.my atau menghubungi kami menerusi e-mel di covid19@motac.gov.my," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X