Rabu, 18 March 2020 | 2:42pm
SUASANA lengang di Dataran Putra susulan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
SUASANA lengang di Dataran Putra susulan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

COVID-19: Orang ramai dinasihat berada di rumah sepanjang masa

PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menasihatkan orang ramai supaya berada di rumah sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan-keperluan asas.

Dalam satu kenyataan hari ini, MKN turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) dengan orang sekeliling demi mengelakkan jangkitan COVID-19.

“Umum mengetahui kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020.

“Untuk memastikan keperluan orang ramai kepada perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa, perkhidmatan tertentu dibenarkan beroperasi,” katanya.

MKN berkata, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 turut diwartakan hari ini, bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ia juga memaklumkan, pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) dilantik sebagai pegawai diberi kuasa mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

MKN berkata, kesemua langkah susulan itu dibuat ketika pihaknya mengadakan mesyuarat pada 17 Mac lalu bersama Jabatan Perdana Menteri untuk menyelaraskan tugasan antara agensi kerajaan bagi memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan supaya perintah berkenaan dapat berjalan dengan baik dan lancar.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X