Rabu, 18 March 2020 | 11:34am

Wisma Putra bantu rakyat terkandas di India

PUTRAJAYA: Kementerian Luar sedang mencari jalan bagi membantu rakyat Malaysia yang kini terkandas di India.

Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau meminta rakyat Malaysia terbabit untuk bersabar berikutan pihaknya kini sudah berhubung dengan Perwakilan Malaysia di India bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Wisma Putra akan melakukan apa yang terdaya walaupun ia di luar bidang kuasanya kerana perlu bergantung kepada budi bicara kerajaan negara itu untuk membenarkan rakyat Malaysia pulang.

“Kita sudah berhubung dengan Perwakilan Malaysia di sana. Taskforce COVID-19 Wisma Putra juga sedang meneliti usaha yang boleh membantu mencari penyelesaian bagi mereka yang ingin pulang ke Malaysia.

“Video yang tular di media sosial menunjukkan seorang pegawai daripada pihak berkuasa India mengatakan ini keputusan Kerajaan Malaysia adalah tidak benar.

“Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, sememangnya rakyat kita dibenar pulang ke tanah air. Mereka hanya dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari selepas pulang.

“Diharapkan mereka yang terkandas bertenang,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Pada masa sama, Hishammuddin berkata kepimpinan tertinggi MIC juga sudah menghubunginya berkaitan isu sama.

“Mereka menghubungi saya dan berikrar untuk bantu secara langsung, insya-Allah ada jalan penyelesaian,” katanya.

Sehubungan itu, Hishammuddin meminta rakyat Malaysia yang berada di India untuk menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi di talian +91 11 2415 9300 atau emel mwdelhi@kln.gov.my; Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai di talian (91 44)2433 4434/35/36 atau emel mwchennai@kln.gov.my atau Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai di talian, 00 9122 2645 5751/52/55 atau emel mwmumbai@kln.gov.my.

Satu klip video berdurasi 2 minit 50 saat tersebar sejak semalam melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp yang memaparkan sekumpulan dipercayai rakyat Malaysia melakukan bantahan di sebuah lapangan terbang, dikatakan Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli di Chennai.

Turut kelihatan dalam klip video itu seorang lelaki berpakaian seragam yang didengar memaklumkan kerajaan Malaysia menghentikan penerbangan masuk ke negara itu.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang terkandas memaklumkan mereka yang sepatutnya menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia pada 13 Mac lalu, terkandas selepas penerbangan ditunda.

Malah, ada yang mendakwa, berikutan memegang pasport Malaysia, mereka tidak dapat mendaftar masuk ke hotel, menyebabkan kumpulan itu terkandas di lapangan terbang berkenaan.

Difahamkan, setakat jam 9 pagi ini, terdapat seramai 73 rakyat negara ini di New Delhi, 200 di Chennai termasuk 150 yang kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli dan seorang di Mumbai dengan jumlah keseluruhan seramai 274 orang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X