Selasa, 17 March 2020 | 4:27pm
Najib keluar dari mahkamah selepas prosiding kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Najib keluar dari mahkamah selepas prosiding kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Usaha kembalikan dana 1MDB diteruskan

KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha untuk mendapatkan kembali dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai RM6.9 bilion yang sudah dikenal pasti.

Pejabat Perdana Menteri berkata, tindakan itu susulan taklimat khas oleh pasukan yang menjejak dana 1MDB di luar negara kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Pasukan itu terdiri daripada wakil Jabatan Peguam Negara, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan.

“Dalam taklimat itu, Muhyiddin dimaklumkan bahawa sejumlah RM1.4 bilion dana berjaya dikembalikan, hasil usaha pasukan petugas berkenaan, manakala sebanyak RM6.9 bilion lagi sudah dikenal pasti.

“Pasukan petugas turut memberikan perincian tindakan yang sudah dilaksanakan untuk membawa pulang dana 1MDB, disyaki disalahgunakan di 17 negara.

“Muhyiddin mengarahkan supaya usaha untuk menjejak dan mengembalikan dana 1MDB daripada pelbagai negara terus dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) menangguhkan pemulangan AS$240 juta (RM1 bilion) yang diseleweng daripada dana 1MDB.

Agensi media Reuters yang memetik maklumat sumber, melaporkan keputusan itu dibuat susulan ketidaktentuan politik berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 24 Februari lalu.

Beliau digantikan Muhyiddin yang kini mengetuai kerajaan membabitkan UMNO yang menerajui kerajaan terdahulu, sebelum kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14, antara lain kerana skandal 1MDB.

DOJ dilaporkan berkata, lebih AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) diseleweng daripada dana di bawah kawalan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X