Isnin, 16 March 2020 | 5:32pm
 Arab Saudi menggantung ibadah umrah di Makkah dan Madinah kepada warga asing termasuk rakyatnya bagi menghalang penularan COVID-19. - Foto AFP
Arab Saudi menggantung ibadah umrah di Makkah dan Madinah kepada warga asing termasuk rakyatnya bagi menghalang penularan COVID-19. - Foto AFP

COVID-19: Agensi umrah akur

MELAKA: Agensi pengendali umrah akur dengan situasi yang melanda negara dan dunia akibat penularan coronavirus (COVID-19) sehingga memaksakan mereka menghentikan tempahan mengerjakan umrah ketika ini.

Pengarah Urusan Aswad Tavel & Tours Sdn Bhd Melaka, Rizal Hashim berkata, langkah menghentikan menerima tempahan selaras dengan tindakan kerajaan Arab Saudi yang menggantung sementara kemasukan visa pelancong ke negara itu bagi mengekang penularan COVID-19.

Malah, agensinya juga sudah memulangkan semua wang tempahan membabitkan 28 peserta umrah yang dijadualkan pada 11 Mac lalu.

“Kutipan membabitkan wang RM7,200 setiap peserta dianggarkan lebih RM200,000 itu kami pulangkan semuanya kepada pelanggan.

“Beberapa jadual lain yang dirancang sehingga hujung tahun ini juga ditangguhkan sehingga situasi benar-benar pulih,” katanya yang beroperasi di Taman Bukit Piatu di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, ianya juga berdasarkan arahan larangan Arab Saudi berkaitan kemasukan warga asing terutama daripada negara yang terjejas akibat COVID-19 ke Makkah dan Madinah

Beliau berkata, ramai pelanggan juga mahu mengerjakan umrah pada Ramadan ini namun situasi berkenaan sukar dijangka berikutan penularan COVID-19 di beberapa negara di dunia pada tahap membimbangkan.

Apapun, dia reda dengan ketentuan berkenaan namun dalam masa sama mengharapkan wabak berkenaan akan berjaya dikawal dan dicegah sepenuhnya.

Sementara itu, Mohd Fazry Mohd Yunos 36 dari Durian Daun berkata, beliau ada rancangan mengerjakan umrah pada Ramadan ini, namun situasi semasa yang tidak menentu mendorongnya untuk bersabar dan bertenang.

“Tindakan kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan visa pelancong adalah antara langkah positif mengekang penularan COVID-19.

“Mungkin ada hikmahnya semua ini dan saya serta keluarga juga menangguhkan hasrat untuk ke sana buat masa ini,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah, selain menggantung visa pelancongan dari negara berdepan ancaman COVID-19.

Langkah itu, susulan kebimbangan terhadap penularan wabak terbabit yang kini dilaporkan sudah mengorbankan lebih 6,420 warga dunia dan menjangkiti lebih 163,930 orang membabitkan 141 negara dan wilayah.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X