Isnin, 16 March 2020 | 4:57pm
Masjid Jamek Benggali, di Lebuh Leith, diarahkan tutup tiga hari bermula hari ini.
Masjid Jamek Benggali, di Lebuh Leith, diarahkan tutup tiga hari bermula hari ini.

COVID-19: Masjid Jamek Benggali ditutup tiga hari

GEORGETOWN: Masjid Jamek Benggali, Lebuh Leith, dekat sini, diarahkan penutupan sementara selama tiga hari bermula hari ini hingga 19 Mac bagi kerja pembersihan bagi membendung penularan coronavirus (COVID-19)

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan selepas menerima maklum daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, pagi tadi.

“Ya, saya sudah dimaklumkan oleh Pengarah (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang) mengenai penutupan itu pagi tadi.

“Keputusan itu dibuat kerana masjid ini juga menjadi pusat jemaah tabligh bagi Daerah Timur Laut dan kita mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang juga sedang menunggu arahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai larangan penganjuran aktiviti awam di masjid negeri ini.

“Ia termasuk kemungkinan arahan bagi menangguhkan solat berjemaah dan solat Jumaat buat sementara sehingga keadaan pulih sepenuhnya daripada penularan COVID- 19.

“Sekali lagi saya nasihatkan jemaah yang pernah menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling bulan lalu, supaya tampil melakukan ujian kesihatan di klinik berhampiran,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X