Ahad, 15 March 2020 | 5:38pm

Mesyuarat Khas COVID-19 esok

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas esok berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini yang semakin membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata mesyuarat berkenaan akan dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan.

"Mesyuarat esok bagi membincangkan langkah seterusnya dalam tangani COVID-19 selepas jumlah kes positif jangkitan itu merekodkan 428 kes sehingga tengah hari tadi, " katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu.

Sementara itu, Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, kerajaan akan mengambil langkah drastik dengan menggunakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Seksyen 15 (1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dalam mengesan peserta perhimpuan tabligh di Masjid Seri Petaling.

"Jika peserta perhimpunan tabligh berkenaan terus enggan tampil membuat pemeriksaan, Kementerian Kesihatan akan menggunakan akta itu bagi memaksa dan memburu peserta berkenaan.

"Jadi saya menggesa peserta berkenaan selain kontak rapat mereka supaya tampil dengan sukarela bagi mengekang wabak COVID-19 terus menular, " katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 6.8 juta individu yang memasuki negara menerusi pintu masuk di negeri ini termasuk di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (CIQ BSI) sudah disaring sejak 5 Januari lalu sehingga hari ini.

“Semua 6.8 juta individu berkenaan yang membabitkan rakyat Malaysia dan warga asing disahkan tiada sebarang kes termasuk COVID-19 dikesan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
    Berita Harian X