Sabtu, 14 March 2020 | 1:40pm
Bangunan Hospital Pulau Pinang.
Bangunan Hospital Pulau Pinang.

Semua hospital di P Pinang dipendekkan waktu lawatan

GEORGETOWN: Berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19, semua hospital di Pulau Pinang mengambil langkah segera bagi mengurangkan risiko jangkitan virus itu dalam kalangan pesakit, pelawat dan staf hospital.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Asmayani Khalib, berkata antara langkah yang diambil ialah mengehadkan bilangan pelawat ke wad dan sama sekali melarang kanak-kanak berumur kurang 12 tahun ke bawah untuk melawat.

"Selain itu, masa melawat di semua hospital di Pulau Pinang juga dipendekkan kepada 1 tengah hari hingga 2 petang dan 5 petang hingga 6.30 petang setiap hari termasuk cuti umum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, peraturan itu berkuat kuasa serta-merta dan sebarang perubahan akan diberitahu kelak.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menafikan penutupan sebuah kedai kopi di Bandar Baru Air Itam, di sini disebabkan wabak COVID-19 sebaliknya premis perniagaan tersebut ditutup kerana faktor kebersihan.

MBPP dalam kenyataan berkata, kedai kopi itu telah diarahkan ditutup selama 14 hari bermula 6 Mac lalu selepas pemeriksaan pihaknya mendapati kedai tersebut gagal mematuhi tahap piawaian kebersihan yang ditetapkan.

"Namun telah tular mesej suara di aplikasi WhatsApp kononnya kedai kopi itu diarahkan tutup selepas terdapat seorang pesakit COVID-19 mengunjungi premis tersebut, ia tidak benar kerana kedai berkenaan diarah tutup berikutan pihak MBPP dalam operasi baru-baru ini mendapati ia tidak bersih," katanya.

MBPP meminta orang ramai untuk lebih bertanggungjawab dan tidak menyebarkan serta berkongsi berita tidak sahih.

"Orang ramai boleh mendapatkan segala perkembangan terkini mengenai COVID-19 menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X